Skip to main
Logo Malaysiakini

Saksi: Syed Saddiq tak guna istilah 'clear-kan'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bendahari Pemuda Bersatu (Armada) Rafiq Hakim Razali hari ini mengakui bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak secara khusus berkata "clear-kan" sebahagian daripada RM1 juta pada 2020.

Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, saksi pendakwaan itu berkata dia tidak ingat perkataan sebenar yang digunakan bekas ketua Armada itu tetapi faham apa yang dimaksudkannya.

"Perkataan spesifik saya tak ingat tetapi saya boleh faham maksudnya," katanya ketika pemeriksaan balas dengan peguam Gobind Singh Deo ketika perbicaraan penyelewengan dana RM1.12 juta milik Armada terhadap Syed Saddiq.

Ketika prosiding di depan pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid semalam, Rafiq mendakwa Syed Saddiq mengarahkannya untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun bank Armada pada 6 Mac 2020.

Syed Saddiq

Dia juga mendakwa menerima panggilan telefon daripada Syed Saddiq antara akhir Mac dan awal April 2020 yang mengarahkannya untuk mengagihkan RM900,000 kepada dua ahli parti.

"Seingat saya, saya menerima panggilan Whatsapp daripada Syed Saddiq sekitar Mac atau April. Dia berkata SPRM datang ke rumahnya untuk geledah, jadi dia arah saya untuk clear duit saya pegang waktu itu, jadi saya agih kepada Naqib dan Daniel," katanya semalam.

Dia merujuk ketua penerangan Bersatu Wilayah Persekutuan Muhammad Daniel Kusari dan tukang jahit Muhammad Naqib Ab Rahim.

Hari ini, Rafiq bersetuju bahawa wang daripada akaun bank Armada akhirnya digunakan untuk program belia anjuran Armada.

Gobind Singh Deo

Gobind kemudian bertanya mengapa Syed Saddiq mahu menggunakan wang itu yang diperuntukkan untu kegunaan parti.

Gobind: RM1 juta (dalam akaun) untuk kegunaan parti. Mengapa dia (Syed Saddiq) kata 'clear-kan'?

Rafiq: Dia memang kata 'clear-kan'.

Gobind: Dia kata 'clear-kan'? Saya katakan kepada anda yang dia tidak gunakan perkataan ini. Itu pemahaman kamu, betul?

Rafiq: Ya.

Gobind: Wang ini, Rafiq, akhirnya digunakan untuk program Armada, betul?

Rafiq: Betul.

Gobind: Ini bermakna tiada niat untuk 'clear-kan' kerana anda masih mahu gunakan wang ini untuk Armada, bukan? Anda faham maksud saya - ia tergantung. Ia tak masuk akal, bukan? Wang itu digunakan, jadi ia tak bermakna 'clear-kan'.

Rafiq: Saya mohon untuk jelaskan.

Gobind: Jawab soalan saya dulu...Anda diminta untuk 'clear-kan', dan kemudian anda gunakannya. Ia tak masuk akal, bukan?

Rafiq: Masuk akal.

Gobind: Ini bermakna arahan adalah untuk menyimpannya, bukan? Kerana anda akan gunakannya.

Rafiq: Ya.

Sebelum ini, Syed Saddiq mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan penyelewengan membabitkan RM1.12 juta daripada Pemuda Bersatu.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan pengubahan wang haram, di mana setiap transaksi yang didakwa melibatkan RM50,000.

Mengikut dua pertuduhan bersubahat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dia dituduh terlibat dalam pemindahan dana itu sebanyak dua kali iaitu pada 16 dan 19 Jun 2018.

[Baca berita asal]