Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu minyak masak, ayam dibentang dalam mesyuarat esok

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Laporan terkini berhubung kedudukan bekalan minyak masak dalam paket 1kg, ayam dan telur dalam pasaran akan dibentangkan dalam mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata laporan berkenaan yang akan dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna adalah penting kerana ia dibangkitkan rakyat khususnya berkaitan bekalan.

"Kita melawat ke kedai memang sesetengah kedai tu langsung tidak ada (bekalan minyak masak paket).

"Esok kita jangka akan terima laporan tentang kedudukan terkini, dan yang penting tindakan-tindakan yang sudah diambil dan setakat mana ia berkesan untuk pastikan bekalan dan harga (tidak melebihi harga siling)," katanya kepada media selepas merasmikan cawangan Richiamo Coffee ke-99 dan kiosk pertama Richiamo Coffee di Putrajaya hari ini.

Mesyuarat Kabinet pada 29 Jun lalu bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan berkesan.

Pasukan khas itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, dan dianggotai lima yang lain iaitu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi; Mustapa dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Dalam mesyuarat pertama pasukan itu pada 30 Jun lalu, antara perkara yang dibangkitkan ialah kekurangan bekalan minyak masak paket 1kg dan isu orang tengah atau kewujudan kartel menentukan harga barang keperluan di pasaran.

Richiamo Coffee merupakan jenama tempatan yang memulakan operasinya sejak 2015 dan telah mempunyai 105 cawangan di seluruh Malaysia setakat ini.

Cawangan ke-99 di Menara Prisma itu dimiliki dan dikendalikan oleh Empire Coffee Works dan cawangan keempat selepas Wisma Bernama (Kuala Lumpur), Universiti Malaysia Perlis dan Hospital UiTM Puncak Alam, Selangor.

- Bernama