Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pembaharuan undang-undang PH gagal sebab tiada menteri galas tanggungjawab'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Banyak pembaharuan undang-undang yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat direalisasikan sepanjang 22 bulan gabungan itu menjadi kerajaan kerana tiada menteri yang tampil menggalas tanggungjawab memastikan satu-satu itu berjaya, kata Tommy Thomas.

Bercakap pada forum semalam, bekas peguam negara itu berkata pengecualian adalah dalam kes Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik yang diusahakan bersungguh-sungguh oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Kerajaan PH tidak pernah mempunyai majoriti dua pertiga (dalam Dewan Rakyat), ia mustahil (untuk mendapatkan rang undang-undang yang memerlukan pindaan perlembagaan diluluskan).

“Tetapi, kerajaan PH berjaya meminda perlembagaan sekali, iaitu meluluskan Undi18.

"Tetapi kemudian, apa yang berlaku ialah menteri yang galas tanggungjawab, Syed Saddiq, mengambil tanggungjawab memastikan rang undang-undang itu diluluskan dan berjaya mendapatkan semua pihak untuk menyokongnya. Rang undang-undang itu diluluskan dengan sokongan sebulat suara," katanya.

Thomas berkata demikian pada forum anjuran kumpulan pendesak pembaharuan pilihan raya Bersih dan Majlis Peguam yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Thomas adalah sebahagian daripada tiga panel yang dijemput untuk berkongsi pendapat mereka dalam sesi bertajuk 'Pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya: Pelan Hala Tuju Pembaharuan'.

Mengimbas kembali ketika Undi18 didesak oleh PH, Thomas berkata Syed Saddiq telah berjaya "memikat dan meyakinkan" ahli Parlimen lain termasuk daripada pembangkang ketika itu untuk menyokong rang undang-undang itu.

"Tidak ada yang setara dengan Syed Saddiq dalam kabinet. Kerana reformasi undang-undang, dalam erti kata membentangkan rang undang-undang, harus berada di bawah seorang menteri kabinet.

"Tiada siapa yang mengambil tanggungjawab (rancangan pembaharuan) untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya," tambahnya.

Kenyataan Thomas itu hadir ketika dia menjawab soalan moderator Dr Abdul Halim Yusof, yang meminta bekas peguam negara itu menjelaskan kepada hadirin tentang sebab di sebalik kegagalan PH menunaikan janjinya untuk memperkenalkan pembaharuan undang-undang ketika menjadi kerajaan, termasuk memisahkan kuasa peguam negara.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun. Rang undang-undang itu diluluskan dengan mendapat 211 undi. Tiada sebarang berkecuali atau menolak.

Sementara itu, semasa forum itu, Thomas dan panel lain bekas menteri undang-undang Azalina Othman Said dan peguam Andrew Yong membincangkan dua model berbeza peranan peguam negara dalam sesebuah negara.

Menurut Yong, yang membuat pembentangan mengenai perkara itu, salah satu model ialah Westminster, di mana seorang peguam negara adalah ahli badan perundangan serta eksekutif.

Model kedua, katanya, ialah di mana seorang peguam negara memainkan peranan "perundangan semata-mata", di mana dia berada di luar bidang politik.