Skip to main
Logo Malaysiakini

Nyalaan lilin kenang Kalwant diselubungi tangisan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Himpunan nyalaan lilin yang penuh emosi diadakan di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura malam tadi bagi membantah pelaksanaan hukuman mati ke atas Kalwant Singh Jogindar Singh yang dijadualkan pada pagi ini.

Dianjurkan bersama oleh Amnesty International, Anti-Death Penalty Asia Network (Adpan), dan Suaram ia dihadiri kiira-kira 20 penunjuk perasaan yang berbaris di luar kawasan kedutaan untuk mendesak kerajaan Singapura menyelamatkan Kalwant.

Seramai lima hingga 10 anggota polis dilihat merekod butiran beberapa peserta.

Salah seorang peserta yang juga rakan keluarga kepada Kalwant dan kakak kepada seorang lagi banduan hukuman mati Singapura, Pannir Selvam Pranthaman, menangis ketika dia meminta kerajaan Singapura menamatkan hukuman mati.

"Saya merayu kepada Singapura, tolong hentikan hukuman mati terhadap Kalwant Singh, dan saya mohon Malaysia lakukan sesuatu untuk menghentikan hukuman ini,” tangis Angelia Pranthaman.

Kalwant, 31, ditahan pada 2013 kerana mengedar 120.9 gm diamorphine ke Singapura, dan dijatuhi hukuman mati pada 2016.

Hukuman itu dilaksanakan sehari selepas Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir Kalwant untuk menangguhkannya.

Patut berasa malu

Pengarah Eksekutif Adpan, Dobby Chew, menuntut Singapura menjelaskan mengapa 'keldai dadah' yang dikenakan hukuman mati melalui undang-undang dadah negara itu, bukannya dalang sebenar.

"Inilah individu yang Singapura mahu hukum, bukannya ketua sindiket dadah, tetapi pengedar dadah, keldai dadah… mereka yang menjadi mangsa," katanya.

Sambil menyifatkan undang-undang hukuman mati sebagai "tidak masuk akal", Chew berkata Singapura melaksanakannya hanya untuk menunjukkan yang negara itu boleh mengenakan hukuman tersebut.

Sementara itu, penyelidik Amnesty International Brian Yap menggesa Singapura mempertimbangkan semula pendirian kerajaan terhadap hukuman mati.

“Undang-undang hak asasi manusia antarabangsa melarang pelaksanaan hukuman mati bagi kes seperti pengedaran dadah, tetapi kita dapat lihat Singapura tidak teragak-agak untuk melaksanakannya,” katanya.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy pula berkata Singapura adalah satu daripada beberapa negara di dunia yang mempunyai penguatkuasaan hukuman mati yang begitu ketat.

“Ketika seluruh dunia perlahan-lahan bergerak ke arah pemansuhan hukuman mati, Singapura perlu berasa malu kerana terus melaksanakan hukuman itu ke atas orang ramai.

"Singapura terus menunjukkan contoh buruk dengan melaksanakan hukuman mati setiap hari," kata Sevan.

Yap dan Sevan juga menggesa kerajaan Singapura memansuhkan hukuman mati, serta menggesa Putrajaya mendesak republik terbabit menamatkannya.

Orang ramai bersurai kira-kira jam 8.40 malam, iaitu kira-kira 30 minit selepas himpunan bermula.

[Baca berita asal]