Skip to main
Logo Malaysiakini

220 anggota JPJ digerakkan untuk operasi khas Aidiladha di Terengganu 

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seramai 220 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu digerakkan dalam operasi khas Aidiladha bermula semalam hingga 13 Julai ini untuk memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang.

Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Mat Yasin berkata operasi bersepadu itu turut mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia, iaitu dua hari sebelum (7 dan 8 Julai) serta dua hari selepas Aidiladha (12 dan 13 Julai).

"Selain anggota menggunakan taktik penyamaran sebagai penumpang bas ekspres, JPJ Terengganu turut melakukan ujian saringan air kencing terhadap semua pemandu bas.

"Sebelum ini, ujian dilakukan kepada pemandu secara rawak sahaja. Kali ini, pemandu satu dan pemandu dua, kedua-duanya perlu menjalani ujian air kencing bagi memastikan keselamatan penumpang," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di Hentian Bas Kuala Terengganu malam tadi.

Beliau turut mengingatkan pemandu bas supaya mematuhi peraturan kerana pemberian mata demerit kenderaan awam lebih ketat berbanding pemandu biasa mengikut Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara).

Selain itu, Zulkarnain berkata JPJ Terengganu turut menggerakkan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) dan Unit Penguatkuasaan Lebuh Raya (UPLR) untuk memantau kesalahan di jalan raya.

Antara sembilan kesalahan utama yang diberi tumpuan ialah tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, membawa lebih muatan, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai tali pinggang keledar dan memotong barisan.

Beliau berkata rondaan juga akan dilakukan di 20 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan sering berlaku kemalangan.

"Pemantauan ini diharap dapat mengurangkan jumlah kemalangan yang berlaku terutama kemalangan maut. Tindakan tegas akan diambil terhadap semua kesalahan tanpa kompromi," katanya.

- Bernama