Skip to main
Logo Malaysiakini

Pejuang akan umum gabungan PRU dalam masa terdekat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan mengumumkan gabungan yang akan dibentuk parti itu bagi menghadapi PRU15 dalam tempoh terdekat.

Timbalan Presiden Pejuang, Marzuki Yahya berkata gabungan itu merangkumi parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan.

"Sudah tentu kita kena terima hakikat sukar untuk kita menangi PRU akan datang kalau bersendirian. Bagaimanapun kita juga sedang merangka dan akan wujudkan satu gabungan untuk kita menyertai PRU.

"Gabungan kita tidak terhad kepada parti politik, tetapi lebih menyeluruh iaitu menerima individu-individu atau persatuan serta kumpulan yang mempunyai naratif yang sama ataupun matlamat yang sama iaitu membetulkan negara ini, mengembalikan balik sebuah negara yang pernah dihasilkan oleh pemimpin parti kami iaitu Dr Mahathir Mohamad sendiri.

"Insya-Allah kita akan buat pengumuman dalam sedikit masa lagi gabungan yang akan kita gerakkan menuju pilihan raya umum," katanya dalam sesi wawancara bersama Malaysiakini.

Pendekatan ‘khemah besar’ diperkatakan sejak beberapa bulan lalu dalam menghadapi PIlihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)/

Pada 1 Jun lalu, Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan parti itu akan terus berjuang untuk menyatukan parti pembangkang di bawah pendekatan berkenaan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, berkata strategi “khemah besar” tidak seharusnya dilihat membabitkan parti Pakatan Harapan (PH), sebaliknya perlu melibatkan Pejuang, Warisan dan Muda.

"Pendirian Amanah ialah pembangkang perlu disatukan. Ini termasuk Pejuang, Warisan dan Muda. Apa perlukan khemah besar untuk PH. Semestinya konsep khemah besar melibatkan selain PH, tetapi hanya pembangkang," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menolak cadangan supaya PKR dan PH menggunakan pendekatan khemah besar pada pilihan raya PRU15.

Katanya, PKR dan PH harus belajar daripada pengkhianatan yang berlaku dua tahun lalu, dipercayai merujuk kepada Langkah Sheraton apabila gabungan itu dikhianati oleh parti komponennya, iaitu Bersatu.

Tetap tak terima Anwar

Mengulas mengenai ‘khemah besar’, Marzuki berkata strategi itu bukan satu-satunya jalan penyelesaian dalam menyelesaikan kemelut politik ketika ini, selain PH dilihat sudah hilang fokus.

Katanya Pejuang juga tidak boleh menerima cara pentadbiran presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Saya melihat khemah besar bukan salah satu jalan penyelesaian dalam kemelut politik sekarang ini. Semenjak Langkah Sheraton kita melihat PH seperti sudah hilang fokus terutamanya insiden yang berlaku sewaktu membuat undian bajet yang mana PH tiada keputusan yang jelas.

"KIta bersetuju dengan khemah besar tapi dalam masa sama kita tidak boleh terima dan setuju dengan cara pentadbiran Anwar," katanya lagi.