Pejuang mahu menang PRU15, bukan jadi 'king maker'
WAWANCARA | Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak memasuki gelanggang PRU15 untuk menjadi "king maker", sebaliknya ingin membentuk kerajaan, kata Timbalan Presidennya, Marzuki Yahya.
Jelasnya, penampilan Pejuang dalam PRU15 adalah untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan dengan lebih 120 kerusi yang bakal ditandingi.
Menurutny lagi meskipun penampilan Pejuang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kurang memberangsangkan, namun ia bukan penanda aras kepada pencapaian parti itu.
"Bila kita nak tanding 120 kerusi, maka matlamat kita menjadi kerajaan bukan lagi bercakap soal 'king maker'. Bagi kita, kita ditubuhkan untuk menang pilihan raya bukan untuk jadi 'king maker'.
"Bila kita wujudkan parti, apa yang kita harapkan kemenangan untuk menubuhkan kerajaan. Jadi untuk menubuhkan kerajaan sudah pastilah kita bertanding lebih daripada 112 kerusi, maka ini yang kita usahakan.
"Kita tetapkan pendirian kita untuk bertanding tidak kurang 120 kerusi," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.
Pada PRU14, Dr Mahathir dan pimpinan Bersatu bertanding atas tiket PKR susulan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang membolehkan dia dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh.
Bagaimanapun krisis politik yang berlaku pada 2020 menyaksikan Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin keluar daripada PH>
Mahathir kemudiannya membentuk Pejuang bersama beberapa lagi penyokongnya.
PRU15 akan menyaksikan Pejuang tampil kali pertama sebagai sebuah parti politik.
Pada PRN Johor Mac lalu, Pejuang bertanding 42 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
Bagaimanapun parti itu gagal memenangi sebarang kerusi.
'Kita berjuang bukan untuk jadi PM'
Ditanya mengenai calon perdana menteri parti itu bagi menghadapi PRU15 nanti, Marzuki berkata mereka ingin memenangi pilihan raya terlebih dulu.
"(Calon) Perdana menteri itu kita belum putuskan lagi. Bagi kita, kita berjuang bukan untuk jadi perdana menteri," katanya lagi.
Mengulas mengenai peranan Mahathir dalam PRU15, Marzuki berkata Pejuang masih memerlukan peranan bekas perdana menteri itu.
Katanya peranan Mahathir melebihi soal parti kerana dia adalah ikon yang membawa impak besar kepada Pejuang, khususnya dalam meraih sokongan rakyat.
"Bagi saya Tun (Mahathir) adalah satu ikon yang mana kehadirannya mengatasi soal parti.
"Kehadiran Tun akan memberi impak yang besar tentang sokongan terutama rakyat-rakyat yang pernah merasai, menyakini kepimpinan Tun sendiri," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai