Skip to main
Logo Malaysiakini

'Takkan kita tutup kolam renang sebab peserta ambil steroid?' - Afdlin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Beberapa pelawak membantah pihak berkuasa menutup sementara kelab komedi Crackhouse kerana tindakan kontroversi semasa malam pentas terbuka.

Pelakon Afdlin Shauki - yang juga ahli politik PKR - menyamakan langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu sebagai menghukum sebuah kolam renang atas tindakan seorang perenang.

"Saya membangkang sekeras-kerasnya penutupan sementara Crackhouse Comedy Club oleh kerana perbuatan seorang open miker yangg bersalin pakaian atas pentas tempoh hari.

"Crackhouse merupakan tempat di mana banyak pelawak stendap baru mempelajari seni stendap ini. Open mike di buka kepada amatur yang ingin mencuba content mereka di khalayak ramai," katanya pada hantaran di media sosial hari ini.

"Takkan kita tutup swimming pool pasal seorang peserta renang ambik steroid? Itu salah perenang bukan salah swimming pool," kata Afdlin lagi.

Sementara itu, pelawak Kavin Jay pula membandingkan keadaan itu umpama membuang televisyen atas kandungan yang tidak disukai penonton.

Katanya, insiden sebegitu boleh berlaku di mana-mana lokasi.

Penutupan sementara itu berikutan tindak balas terhadap video persembahan seorang wanita semasa malam pentas terbuka di Crackhouse - yang dianggap telah menghina Islam.

Kedua-dua Afdlin dan Kavin berkata adalah bertentangan dengan semangat persembahan mikfrofon terbuka untuk menyemak lawak peserta sebelum mereka naik ke pentas.

Kavin, yang merupakan kolaborator di Crackhouse, berkata dalam kes kelab itu, peserta mikrofon terbuka diberi amaran terlebih dahulu supaya mereka tidak membuat jenaka yang menghina mana-mana kumpulan orang.

Sambil menyifatkan persembahan kontroversi itu sebagai "serangan hendap", dia berkata orang yang ketawa dan bersorak cuma rakan-rakan wanita berkenaan saja, manakala penonton lain terlalu terkejut untuk memberi reaksi.

“Tiada orang lain yang ketawa, seluruh tempat itu sunyi,” katanya dalam video yang disiarkan di media sosial hari ini.

Pemilik Crackhouse Rizal Van Gayzel (gambar, atas) juga berkata bahawa penganjur terlalu terkejut untuk bertindak balas sebelum wanita itu segera turun dari pentas.

Menurut Kavin, Crackhouse segera melarang wanita itu daripada membuat persembahan di sana semula selepas persembahannya itu.

Justeru, dia berkata tindakan yang diambil terhadap kelab komedi itu tidak masuk akal.

"Mengapa menyalahkan seseorang yang tidak mempunyai kawalan, dan telah melakukan segala-galanya dengan betul," katanya.

Bukan tempat biak persembahan biadab

Polis telah menahan wanita terbabit, dan dia ditahan reman selama tiga hari.

Bukit Aman menyiasat kes di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian atas alasan agama, serta di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan rangkaian yang tidak wajar.

Wanita itu telah memuat naik video persembahannya ke saluran Youtubenya sendiri.

Sementara itu, pelawak Douglas Lim juga berkata melalui hantaran Facebook bahawa persembahan kontroversi tersebut merupakan satu tindakan sabotaj - mendakwa wanita itu melakukan rutin yang sama di tempat lain.

Dia berkata Crackhouse bukan "tempat pembiakan" untuk persembahan biadab.

"Ia ruang yang selamat untuk pelawak profesional dan amatur boleh pergi dan cuba sedaya upaya untuk menceritakan jenaka untuk membuat orang ketawa," katanya.