Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno pikul kavadi besar: Mat Hasan sila minta maaf, kata Gobi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang ahli bersekutu Bersatu mendesak Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mohon maaf susulan kenyataannya yang merujuk kepada "kavadi" dengan cara yang menghina semasa

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Mohamad yang merujuk kepada ‘kavadi’ sebagai beban. Ini jelas satu penghinaan kepada agama Hindu dan menampakkan kecetekan kefahaman dia mengenai adat, budaya dan agama Hindu.

"Jelas Mohamad tidak menghormati sensitiviti masyarakat India beragama Hindu dengan mengaitkan ritual agama Hindu sebagai satu beban," kata ketua penerangan sayap bersekutu Bersatu, S Gobi Krishnan dalam satu kenyataan, hari ini.

Gobi berkata kavadi adalah satu bentuk pembayaran nazar oleh masyarakat Hindu semasa perayaan Thaipusam saban tahun yang menyaksikan mereka turut berpuasa sambil memikul "kavadi" sebagai tanda terima kasih kepada Murugan.

Tambahnya, sekiranya Mohamad gagal memohon maaf atas kenyataannya, maka NGO Hindu akan membuat laporan polis secara besar-besaran di seluruh negara ke atasnya.

“Tindakan penghinaan terhadap mana-mana agama terutamanya yang dilakukan oleh pemimpin politik demi kepentingan politik sempit mereka tidak harus dibenarkan.

“Mat Hasan sila minta maaf,” katanya.

Dalam wawancara dengan Asia Times baru-baru ini, Mohamad menyebut tentang "kavadi besar" untuk menjelaskan kekalahan Umno semasa pilihan raya umum 2018.

Mohamad juga dipercayai keliru mengenai sambutan Deepavali dengan Thaipusam.

"Umno dikalahkan pada pilihan raya umum 2018 bukan kerana Umno tidak menjaga rakyat tetapi Umno mempunyai "kavadi besar", kamu tahu kavadi?

"Apabila orang Hindu merayakan Deepavali. Mereka membawa kavadi besar ini. Bagasi besar ini," kata Mohamad.

Walaupun tidak menyebut sebara nama secara khusus, namun "kavadi besar" itu dipercayai merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan skandal urusan 1MDB.

Mohamad seterusnya berkata Dr Mahathir Mohamad mengeksploitasi tersebut semasa kempen pilihan raya 2018.

Kenyataan "kavadi besar" Mohamad tidak dilaporkan dalam artikel Asia Times sebaliknya boleh didengar semasa rakaman wawancara itu.

Rakaman itu dikeluarkan selepas Mohamad menuduh Asia Times melaporkan kenyataannya di luar konteks.