Skip to main
Logo Malaysiakini

Nyah warta kawasan hutan simpan: Jabatan hutan S'gor bercanggah - NGO

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jabatan Perhutanan Selangor telah membuat dakwaan yang dikatakan bercanggah dalam mewajarkan tindakan mengeluarkan kawasan tanah dari Hutan Simpan Bukit Cherakah dengan cara mengundurkan tarikh nyah warta ke belakang (backdated).

Pengarah Bahagian Silvikultur dan Pemeliharaan Biologi Hutan jabatan itu, Ahmad Fadzil Abdul Majid mendakwa proses nyah warta itu telah "tertangguh" sejak 2006 dan dengan demikian tidak tertakluk kepada undang-undang 2011 yang mewajibkan pendengaran awam sebelum pelaksanaan proses tersebut.

Bagaimanapun, Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam (SACFS) berkata pendirian Fadzil adalah bercanggah kerana jika keputusan untuk memotong keluar kawasan itu ditangguhkan sehingga kini maka undang-undang baru mesti terpakai.

“(Lebih-lebih lagi)... peguam kami menasihatkan kami bahawa tiada peruntukan dalam undang-undang perhutanan yang membenarkan untuk mengundurkan tarikh kebelakang mengenai pemberitahuan nyah warta itu,” kata SACFS.

Pendengaran awam mengenai cadangan kerajaan negeri untuk mengeluarkan tanah daripada hutan simpan diberi mandat di bawah Seksyen 11 Enakmen Akta Perhutanan Negara (Penggunaan) (Pindaan) Selangor 1985.

Pada 2021, kerajaan Selangor mengubah keputusan awal untuk menyahwartakan sebahagian besar Hutan Simpan Utara Kuala Langat berikutan pendengaran awam.

Pada masa itu, kerajaan negeri berjanji akan "menggantikan" hutan simpan yang dipotong keluar dan memberikan notis sewajarnya untuk pendengaran itu diadakan, walaupun di lokasi yang sangat jauh dari kawasan yang terjejas.

Pada 5 Mei 2022, kerajaan negeri secara senyap-senyap menyempurnakan nyah warta sebidang tanah seluas 406.22 hektar dari Hutan Simpan Bukit Cherakah untuk projek perumahan Bandar Sierra Alam milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) milik kerajaan negeri.

Bagi SACFS, kes Bukit Cherakah jauh lebih teruk kerana bukan sahaja nyah warta itu "diundur tarikhnya ke belakang", tetapi juga tiada notis awal atau pengumuman mengenai "kawasan gantian".

SACFS berkata "penggantian" hutan simpan diberi mandat oleh undang-undang sejak 1984. Di bawah undang-undang itu, Selangor mesti mengekalkan 30 peratus dari tanahnya sebagai "hutan simpan".

Sehubungan itu, SACFS menggesa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk menghentikan penebangan hutan di kawasan yang terjejas dan mengadakan siasatan awam.

[Baca berita asal]