Faizal Azumu: 'Harap anak kita yang buka baju itu bertaubat'
Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu menasihatkan wanita yang didakwa menghina Islam baru-baru ini supaya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
"Manusia ini kita mesti ada rasa malu, kalau dah tak ada rasa malu ini, kita dah letakkan diri kita setaraf dengan mahluk-mahluk yang Allah ciptakan yang tidak mempunyai akal.
“Jadi ini perkara yang perlu kita jauhi.
"Saya harap anak kita yang telah lakukan perkara itu bertaubat, jangan hina agama sendiri, jangan jolok pula perasaan dan hati rakan-rakan lain yang beragama Islam dan kembali lah ke pangkal jalan," katanya, lapor Astro Awani semalam.
Menteri itu berkata golongan belia perlu menggunakan akal waras sebelum bertindak, menjauhi sifat-sifat negatif dan perlu mengambil iktibar daripada kejadian itu serta cuba membaiki diri sendiri.
Jelas Faizal lagi, wanita yang 'membuka baju' di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) itu tidak menunjukkan "sifat yang baik."
Semalam, polis menahan teman lelaki wanita yang sedang disiasat kerana didakwa menghina agama Islam itu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata lelaki itu direman tiga hari sehingga Rabu (13 Julai) untuk siasatan lanjut.
Sambung reman
Noorsiah berkata pihaknya akan membuat permohonan sambung reman terhadap wanita yang ditahan pada Sabtu lepas bagi siasatan kes sama susulan tempoh reman akan tamat pada hari ini (Selasa 12 Julai).
Polis sebelum ini berkata mereka menyiasat kes di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian atas alasan agama, serta di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan rangkaian yang tidak wajar.
Sebelum ini, video seorang wanita menanggalkan tudung dan baju kurung di atas pentas Kelab Komedi Crackhouse di TTDI telah menjadi viral di media sosial.
Kelab Komedi Crackhouse berkata ia melarang wanita itu dan teman lelakinya dari tempat itu sejurus selepas persembahan stand-upnya dan terus membuat laporan polis.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak itu menggantung lesen operasi kelab komedi itu, yang mendapat bantahan daripada pelawak lain.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai