ULASAN l Bezanya perjuangan Mat Kilau dan PAS
ULASAN l Filem Mat Kilau yang menempah kejayaan sambutan cemerlang telah disambut baik oleh banyak pihak termasuk mereka yang ingin menumpang kecemerlangan filem itu.
Di antaranya adalah parti yang mengelar diri mereka sebagai parti Islam iaitu PAS.
Di dalam keghairahan menumpang kejayaan serta populariti Mat Kilau dengan mengesa orang ramai menonton filem tersebut di pawagam, PAS seolah-olah lupa di Kelantan, pawagam tidak dibenarkan atas alasan ia boleh membawa maksiat.
Demi saham politik, PAS sanggup melupakan "pengharaman" tersebut seperti juga mereka melupakan tuntutan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355, RUU 355 atau hukuman hudud, pembelaan ke atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Turut dilupakan adalah tuntutan royalti minyak untuk Terengganu dan Kelantan. Kepentingan royalti minyak untuk rakyat Terengganu dan Kelantan sehingga hari ini terus diketepikan.
Semua ini semata-mata demi untuk kekal menjadi kerajaan pintu belakang dan menjaga kerusi menteri, senator dan duta khas milik PAS.
Mat Kilau adalah pejuang hebat untuk mendapat kemerdekaan dari penjajahan pihak British.
Perjuangan anti penjajahan ialah untuk kembalikan maruah diri dan rakyat di atas bumi kita dan segala hasil bumi Malaya.
Mat Kilau amat konsisten dan tidak berkompromi atas tuntutan kemerdekaan dari semua bentuk penjajahan dan juga atas semua perkara yang berkaitan termasuk hasil bumi Malaya yang diambil hasil lumayannya dari penjajahan.
Hasil bumi rakyat adalah hanya untuk manfaat rakyat tempatan terutamanya mereka yang sudah lama dahagakan sedikit nikmat dari hasil bumi ibunda setelah begitu lama hidup dalam kemiskinan
Terengganu dan Kelantan adalah dua negeri 'tidak bersekutu' zaman Malaya di bawah British yang miskin sejak sebelum merdeka dan hingga hari ini masih adalah di antara tiga negeri termiskin Malaysia.
Sudah tentu setelah minyak dan gas ditemui di Terengganu dan Kelantan rakyat amat mengharapkan pembelaan peningkatan taraf hidup dari hasil minyak ini.
Malangnya apabila PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999 kerajaan pusat di bawah BN telah menarik balik royalti hasil minyak yang dinikmati sejak tahun 1977.
Setelah Pakatan Harapan menjadi kerajaan, pada tahun 2019, bayaran royalti minyak Terengganu dan Kelantan telah dikembalikan kepada kedua dua negeri tersebut.
Malangnya pada tahun 2021 kerajaan Perikatan Nasional, iaitu gabungan politik turut dianggotai PAS, telah menarik balik semula bayaran royalti tersebut dari Terengganu dan Kelantan.
Makin malang dan menyedihkan, PAS yang kononnya menyanjung perjuangan Mat Kilau yang menentang segala bentuk penjajahan dalam segala erti kata untuk rakyat telah kelu tidak membantah sepatah kata pun.
Ulama-ulama PAS terus membisu menjadi ulama bisu atas hilangnya hak hasil bumi ini.
Bukankah pengambilan hasil bumi minyak Terengganu dan Kelantan ini tanpa memberi sekurang kurangnya royalti satu bentuk dan jenis penjajahan ekonomi moden?
Jika Mat Kilau masih ada sudah tentu ini akan menjadi tuntutan beliau menentang penjajahan ekonomi dua negeri majoriti rakyat Melayu Islam yang miskin ini.
Apa sebenarnya yang PAS mahu rakyat pelajari dari filem Mat Kilau ini jika penjajahan ekonomi yang diperjuangkan Mat Kilau, PAS sendiri membisu dan lari dari tanggungjawabnya membela?
Kehebatan Mat Kilau bukan hanya duduk di pakaiaan tanjak dan pakaian Melayunya yang juga boleh dikenakan oleh ahli Yang Berhormat PAS.
Kehebatan Mat Kilau sebenarnya terletak didalam semangat perjuangan memerdekakan rakyat yang kurang berada daripada dijajah harta bumi bangsa oleh sesiapa pun dengan tidak adil.
Ini telah berlaku dengan hasil minyak Terengganu dan Kelantan puluhan tahun lamanya.
Sekurang kurangnya wang royalti boleh membantu rakyat Terengganu dan Kelantan sedikit mengatasi kos sara hidup yang makin mencengkam masyarakat.
Adakah PAS lebih bimbang kehilangan kedudukan menteri, senator dan duta khas daripada pembelaan hak royalti rakyat Terengganu dan Kelantan?
Ini jenis pejuangan untuk pangkat diri sendiri atau rakyat?
Bentuk penjajahan bukan hanya boleh dilakukan oleh “orang putih dan negara asing” sahaja.
Mat Kilau bukan menentang “orang luar berkulit putih dari negara asing” kerana warna kulit dan asal mereka dari negara lain.
Mat Kilau berjuang menentang penjajahan mengambil hak serta milik bumi kita yang diambil secara tidak adil.
Ini ialah perjuangan sebenar beliau menentang pengambilan hasil negeri yang menafikan hak rakyat tempatan tidak kira bangsa atau negara pihak yang mengambil serta menafikan hak sebenarnya tuan milik asal.
PAS mesti faham semangat dan roh perjuangan Mat Kilau menentang penjajahan yang sebenarnya dan mula bersuara untuk hak royalti Terengganu dan Kelantan dikembalikan.
RAJA BAHRIN SHAH ialah pengerusi Amanah Terengganu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai