Skip to main
Logo Malaysiakini

C4 saran MB lelong kasut kurnia, hasil bantu rakyat susah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menyarankan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi melelong sepasang kasut mahal kurniaan Sultan Ibrahim Iskandar dan menggunakan perolehan itu untuk membantu rakyat.

Saranan itu dibuat NGO terbabit selepas Onn Hafiz mengakui dia tidak membeli kasut mahal itu - yang menjadi perhatian umum baru-baru ini - sebaliknya ia merupakan kurniaan daripada Sultan Johor.

Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata pemberian hadiah boleh menjadi pemangkin rasuah, terutamanya apabila tiada undang-undang pengisytiharan aset di negeri ini.

"Oleh itu, undang-undang pengisytiharan aset adalah penting untuk memacu ketelusan dan akauntabiliti ke dalam tadbir urus dan menyingkirkan sebarang syak wasangka," katanya.

Cynthia berkata mana-mana individu yang berada dalam kedudukan kuasa mesti memegang prinsip integriti "tahap tertinggi" serta tekun dalam menolak ganjaran dan hadiah yang diberikan kepada mereka.

Justeru, C4 menggesa DUN Johor menggubal undang-undang yang memerlukan semua ahlinya mengisytiharkan harta mereka.

"Kami juga menggesa menteri besar untuk menjual kasut berkenaan dan menggunakan wang itu untuk membantu rakyat dihukum setiap hari dengan kenaikan harga barang."

Onn Hafiz menjadi tumpuan baru-baru ini selepas seorang netizen menyorot gambar yang menunjukkan menteri besar itu memakai sepasang kasut yang didakwa bernilai puluhan ribu ringgit.

Susulan itu, Onn Hafiz yang juga Adun Machap menafikan dia telah membeli kasut mahal itu dan mendedahkan ia kurniaan daripada Sultan Ibrahim.

Tambah Onn Hafiz, ia bukan perkara baru kerana baginda juga telah memberikan kurniaan sedemikian kepada anggota pentadbiran negeri sebelum ini untuk memberi mereka motivasi.

Pengasingan kuasa

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata menteri besar itu sepatutnya menahan diri dan sebaliknya menasihatkan sultan bahawa sebagai menteri besar dia tidak patut menerima hadiah.

Walaupun tiada salahnya seorang sultan memberi kurniaan kepada sesiapa sahaja di negeri baginda, namun kata Hassan, konsep pengasingan kuasa perlu dilaksanakan.

"Raja pemerintah negeri, manakala menteri besar mewakili eksekutif, mewakili rakyat.

MP Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

"Perlu ada pengasingan kuasa. Peranan menteri besar ada, peranan raja ada. Sebab raja pun kadang terlibat dengan perniagaan.

"Saya tak nak timbul salah faham, tapi dalam ke arah membina kerajaan integriti, kena ada batasanlah.

"Tak nak nanti ada budaya termakan budi, nanti susah MB," katanya kepada Malaysiakini.

Menyentuh perkara ini dengan lebih luas lagi, Hassan berkata budaya memberi hadiah kepada ahli parlimen dan Adun harus dihentikan sama sekali, termasuk apabila mereka memenuhi undangan ke majlis.

"Tapi untuk mudahnya tak payah lah (bagi hadiah). Mula-mula bagi buah, kemudian bagi komisen pula.

"Tanggungjawab dia pada negara dan masyarakat. Gaji dia, elaun dia dah besar dah.

"Kita perlu didik ahli parlimen supaya buat kerja tanpa hadiah apa-apa," katanya.

Pakar ekonomi politik Edmund Terence Gomez (gambar, atas) ketika dihubungi Malaysiakini berkata isu seorang sultan memberi kurniaan kepada menteri besar menimbulkan beberapa persoalan, termasuk kenapa perlunya memberikan kurniaan yang begitu mahal.

“Mengenai isu sultan memberi ‘hadiah’ kepada MB, ini perkara baru, turut menimbulkan persoalan mengapa perlu berbuat demikian.

“Kita perlu membincangkan perkara ini kerana terdapat isu berkaitan perniagaan yang terlibat.

"Apa yang turut dipersoalkan ialah nilai hadiah itu. Pemberian hadiah semahal itu menimbulkan tanda tanya," kata Gomez, yang juga bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.

[Baca berita asal]