Skip to main
Logo Malaysiakini

Kasut kurnia: Betulkan yang biasa, dan biasakan yang betul

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin akar Umbi, Pejuang di Johor, Mahdzir Ibrahim menyarankan kepada semua menteri besar, ketua menteri bukan sahaja supaya mengisytharkan harta mereka setiap tahun, tetapi termasuk segala hadiah diperolehi dengan butiran lengkap.

Katanya, ini perlu agar rakyat meyakini bahawa mereka yang memegang kuasa itu adalah benar-benar bersih dan juga dilihat bersih.

“Hal integriti bukan sahaja memerlukan iltizam politik semata-mata, sebaliknya ia perlu dilihat atau nampak ia dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh di mata masyarakat.

“Budaya menerima hadiah seperti ini tak sepatutnya dibiarkan apatah lagi dianggap ‘remeh’ atau isu kecil oleh sesetengah pihak.

Mahdzir Ibrahim, Pejuang

“Kita harus ‘betulkan yang biasa, dan biasakan yang betul’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengakui sepasang kasut berharga puluhan ribu adalah kurniaan Sultan Ibrahim Iskandar dan dia tidak membeli kasut mahal itu.

Mahadzir berkata budaya memberi dan menerima hadiah seperti itu harus diubah dan dihentikan demi menjaga dan memelihara integriti penjawat awam dan juga jabatan mahupun sesebuah kerajaan.

Dia yang juga adalah penyelaras parlimen Parit Sulong, Pejuang, berkata pekeliling perkhidmatan awam dengan jelas mendefinisikan hadiah sebagaimana yang diterima oleh menteri besar Johor itu.

“Apa yang wajar dilakukan oleh menteri besar ialah mengisytiharkan penerimaan hadiah itu kepada jabatan dan masyarakat awam.

“Persoalannya, adakah beliau telah dinasihatkan untuk berbuat demikian sebelum isu ini pecah dan menjadi bualan rakyat?”

“Sekalipun budaya menerima atau memberi hadiah ini sebahagian daripada budaya lama, kita boleh mengelakknya sewaktu seseorang itu memegang sesuatu jawatan awam.

“Selepas bersara, itu soal lain,” katanya.

Onn Hafiz menjadi tumpuan baru-baru ini selepas seorang netizen menyorot gambar yang menunjukkan menteri besar itu memakai sepasang kasut yang didakwa bernilai puluhan ribu ringgit.

Susulan itu, Onn Hafiz yang juga Adun Machap menafikan dia telah membeli kasut mahal itu dan mendedahkan ia kurniaan daripada Sultan Johor.

Tambah menteri besar itu, ia bukan perkara baru kerana baginda juga telah memberikan kurniaan sedemikian kepada anggota pentadbiran negeri sebelum ini untuk memberi mereka motivasi.