Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir Baling: Masih tunggu siasatan jabatan teknikal berkaitan - Sanusi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan Kedah masih menunggu laporan dan hasil siasatan daripada pelbagai jabatan teknikal berkaitan, berhubung kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di beberapa kawasan di daerah Baling pada 4 Julai lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh bagi jabatan-jabatan berkenaan mengemukakan dapatan siasatan mereka, walaupun terdapat desakan supaya agar punca kejadian itu diumumkan segera.

“Kita bagi masa yang cukup kepada jabatan, terpulanglah kepada jabatan, kalau kita bagi sebab apa punca kejadian pun, penduduk yang terlibat tidak akan dapat balik kepada kedudukan asal,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Kulim Smart Parking di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata jabatan teknikal yang berkaitan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar mempunyai kepakaran dan kemampuan bagi menyiasat kejadian itu.

Katanya, sebagai ketua kerajaan beliau perlu menunggu laporan dan hasil siasatan daripada jabatan tersebut sebelum membuat sebarang kesimpulan, walaupun ada pihak yang mengaitkan tragedi itu dengan projek penanaman ladang durian Musang King di Gunung Inas.

“Kalau saya mendahului jabatan dan agensi tiba-tiba dapatan mereka berlainan (dengan kenyataan saya), itu menjadikan saya ‘flip flop’… tak boleh, kerajaan tak boleh begitu, kena pakailah jabatan dan agensi kita, saya tidak boleh pakai ‘jabatan netizen’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut enggan terbabit dalam ‘permainan’ tuduh-menuduh dan mencari salah pihak tertentu dalam kejadian itu, termasuk berkaitan projek ladang durian Musang King.

“Yang utama kini bukan mencari sebab, yang utama sekarang ini menyelamatkan apa yang telah berlaku, selesaikan apa yang ada di tapak (bencana) untuk orang yang terkesan, untuk orang yang berada di pinggir sungai yang berisiko, benda-benda itu lebih utama daripada cari sebab,” katanya.

Dalam kejadian banjir dan fenomena kepada air pada 4 Julai lepas itu, sebanyak 41 kawasan di daerah Baling terjejas selain mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.

- Bernama