Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir Baling: Segera keluarkan laporan lokasi selamat penduduk pindah - MP

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Agensi kerajaan berkaitan digesa segera mengeluarkan laporan telus dan menyeluruh berhubung lokasi selamat untuk pembinaan 17 rumah baru mangsa banjir dan kepala air di daerah ini.

Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata ia membabitkan penduduk yang kehilangan rumah atau rumah mereka mengalami kerosakan teruk sehingga tidak dapat didiami lagi akibat bencana itu.

Katanya sekiranya kawasan tempat tinggal sedia ada mereka itu disahkan selamat maka pembinaan rumah baru dapat disegerakan, namun jika sebaliknya, penduduk boleh memikirkan kawasan lain yang lebih sesuai.

"Sekarang ini dalam fasa pemulihan, kena baiki rumah yang rosak dan bina semula rumah yang musnah, sebab itu kita minta laporan yang telus dan ikhlas daripada mereka, sama ada selamat atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa insiden itu di Dewan Terbuka Kampung Padang Empang dekat Baling hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kimanis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur Dewan Rakyat Yusuf Abdul Wahab dan turut dihadiri Ahli Parlimen Jerai Sabri Azit dan Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual.

Beliau berkata kejadian banjir dan kepala air yang berlaku pada 4 Julai lepas turut mengubah landskap di kawasan terbabit khususnya yang tinggal berhampiran Lata Celak dan kawasan sekitarnya.

"Dari Lata Celak ke rumah penduduk kampung, air sekarang dah sama rata dengan sungai, sebab itu mangsa tidak mahu duduk di tempat itu, mereka trauma.

“Mangsa ini ingin tahu adakah selamat untuk mereka terus tinggal di situ...atau cadangan lain yang ada untuk mereka," katanya.

Sementara itu, Yusuf berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur Dewan Rakyat akan mengemukakan beberapa cadangan mengenai usaha membaik pulih dan membina semula kemudahan infrastruktur yang rosak akibat bencana itu.

"Antara cadangan yang akan diusulkan ialah pembinaan jambatan baru di Kampung Iboi yang kedudukannya lebih tinggi daripada jambatan asal yang telah rosak.

"Kita juga akan mohon kementerian berkaitan untuk mendalamkan sungai yang telah menjadi cetek disebabkan banjir, menaik taraf sistem saliran dan perparitan serta membina benteng di tepi sungai," katanya dan menambah laporan lengkap akan diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dimajukan kepada agensi berkaitan selewat-lewatnya minggu hadapan.

- Bernama