Skip to main
Logo Malaysiakini

Penambahbaikan buruh: K'jaan tak peduli kritikan laporan pemerdagangan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kelompongan dalam undang-undang tempatan berhubung yuran pengambilan sifar menunjukkan ketidakpedulian kerajaan terhadap syor berulang dalam empat Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) yang lalu.

Sumber kerajaan mengesahkan bahawa tiada undang-undang, dasar atau pun arahan untuk menguatkuasakan kos pengambilan sifar sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menangani ikatan hutang, eksploitasi dan isu buruh paksa melibatkan pekerja asing.

Langkah itu tidak dapat dilaksanakan tanpa undang-undang atau pun pekeliling, jelas sumber itu.

Laporan TIP 2021 menyenaraikan 14 cadangan kepada kerajaan, yang mana kebanyakannya adalah pengulangan daripada laporan sebelumnya.

Antaranya ialah kerajaan "mengambil langkah untuk menghapuskan pengambilan yuran penempatan yang dikenakan kepada pekerja dan memastikan yuran pengambilan dibayar oleh majikan".

Perkara yang sama dinasihatkan dalam laporan 2020 dan 2019 manakala laporan pada 2018 mencadangkan perlindungan yang lebih baik daripada ikatan hutang semasa proses pengambilan.

NGO tempatan berpendapat langkah untuk mengekang aktiviti ejen di negara asal mudah dicapai dengan perjanjian dua hala yang komprehensif dengan negara-negara tersebut.

Pihak berkepentingan dalam industri seperti NGO juga menegaskan bahawa pelaksanaan perjanjian sedemikian dengan kerajaan yang menghantar buruh ke Malaysia akan lebih berkesan dengan penyertaan pihak berkepentingan.

Bagaimanapun, dokumen ini masih tidak didedahkan kepada orang ramai, serta kepada agensi pengambilan swasta yang berdaftar dengan kerajaan dan menjalankan pengambilan serta penempatan pekerja asing.

Ketelusan MOU

Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Indonesia, Bangladesh dan Nepal. Menurut Menteri Sumber Manusia M Saravanan, kerajaan sedang berunding dengan India, Vietnam, Thailand dan Kemboja.

Pada bulan Januari, menteri itu menunjukkan keengganannya untuk menerbitkan MOU itu, hanya beberapa bulan selepas menandatangani Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa 2021-2025.

Ini secara jelas bercanggah dengan matlamat yang ditetapkan dalam pelan tindakan itu untuk meningkatkan ketelusan dan akses awam kepada perjanjian dan MOU dua hala.

Ketika diasak, Saravanan memberitahu Malaysiakini pada April bahawa kontrak yang dipaparkan dalam MOU Malaysia-Indonesia bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) yang ditandatangani pada 1 April akan dipaparkan di laman web kementerian.

Kontrak ini masih tidak dipaparkan di laman web dan proses pengambilan pekerja domestik Indonesia telah pun bermula.

Bagaimanapun, Indonesia semalam melaksanakan pembekuan sementara kemasukan pekerjanya ke Malaysia, dengan alasan pelanggaran syarat MOU di pihak Malaysia.

Potongan yuran pengambilan diteruskan

Sumber kerajaan menjelaskan bahawa majikan biasanya mempunyai perjanjian lisan antara ejen dan pekerja, dan pengesanan adalah rumit kerana ia boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

Malah MOU antara Malaysia-Indonesia itu boleh dilanggar, tambah sumber itu.

“Cara paling mudah ialah apabila pekerja baru tiba dengan panggilan visa, yang sah untuk tiga bulan pertama mereka berada di sini.

“Majikan akan menunggu selama tiga bulan sebelum memohon Pas Lawatan Pekerja Sementara (PLKS).

"Mereka biasanya mempunyai perjanjian lisan dengan pekerja, difasilitasi oleh ejen mereka, bahawa gaji mereka tidak akan dibayar sehingga PLKS berkuat kuasa dan ini hanyalah satu kaedah potongan gaji yang lolos daripada majikan," kata sumber itu.

[Baca berita penuh]