Fahmi jangka banyak 'keterujaan' di Kongres PKR kali ini
Kongres tahunan PKR - yang akan bermula esok - kemungkinan besar menyaksikan pelbagai perkembangan menarik apabila pemimpin dan perwakilan parti itu berbahas.
Antara isu yang dijangka menjadi perhatian ialah persoalan 'khemah besar' dan prestasi buruk PKR dalam empat pilihan raya negeri (PRN) yang dilangsungkan sejak 2018.
Bercakap kepada Malaysiakini dan KiniTV, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata dia menjangkakan ada perwakilan mahu membahaskan isu tersebut.
“Sentiasa akan ada scavengers (pencacai) politik yang akan mengambil kesempatan pada apa jua situasi yang timbul dalam PKR.
"Saya fikir kita mungkin akan melihat sedikit keseronokan hujung minggu ini, walaupun saya harap ia tidak terlalu mengujakan," katanya.
Menurut ahli parlimen Lembah Pantai itu lagi, satu lagi yang dijangka menarik ialah perbahasan wakil dari Melaka, Johor dan Sarawak yang berkongsi pandangan mereka mengenai PRN di negeri terbabit.
Dalam PRN berkenaan, katanya, ada banyak persoalan yang dibangkitkan. Misalnya sama ada PKR mengambil langkah yang betul dalam percaturan mereka, seperti kesediaan menerima sesuatu kerusi atau bekerjasama dengan kumpulan tertentu.
"Saya tidak kata kita jangan terlalu memikirkan masa lalu, tetapi saya fikir adalah lebih penting bagi parti untuk belajar daripada apa yang berlaku," katanya.
Hubungan akan dipererat kembali
Dia turut mengingatkan perwakilan agar sentiasa meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan, selain kekal berdisiplin.
Pada masa sama Fahmi berkata kongres kali ini juga istimewa kerana ia menampilkan barisan kepemimpinan baru PKR termasuk pemenang jawatan timbalan presiden serta empat naib presiden.
Kembalinya Rafizi Ramli ke dalam kancah politik aktif, katanya, bukan saja menarik minat orang ramai sama ada dalam PKR atau luarnya, malah mencetuskan rasa bimbang kepada parti lawan.
"Mungkin orang ramai dan pengundi lebih terinspirasi tentang kembalinya Rafizi ke dalam politik aktif.
"Saya sangat yakin akan ada peningkatan keterujaan dalam parti dan terhadap parti daripada ramai orang, malah kalangan pengundi atas pagar.
"Sedikit sebanyak, ini adalah usaha parti untuk bukan sahaja memulihkan perpecahan selepas Langkah Sheraton malah melakukan persediaan terbaik kami untuk menghadapi PRU ke-15," katanya.
Fahmi juga menjangkakan hubungan dalam kalangan pemimpin dan ahli PKR akan dipererat selepas parti itu menjalani pemilihan baru-baru ini.
Katanya Presiden PKR Anwar Ibrahim juga diyakini akan memberikan tempat untuk para pemimpin parti yang gagal dalam persaingan mereka mendapatkan jawatan tertentu,
"PRU ke-15 adalah antara pilihan raya umum paling sukar untuk PKR dan kami memerlukan sokongan serta kekuatan semua, tidak kira anda menang atau kalah dalam pemilihan parti," katanya.
Fahmi juga berharap ucapan dasar presiden nanti akan memberikan hala tuju dan strategi parti yang lebih luas.
Kongres PKR akan diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, Selangor, dengan dimulakan sayap Pemuda dan Wanita esok, diikuti kongres nasional pada hari berikutnya.
PKR - yang memenangi 48 daripada 71 kerusi parlimen ditandinginya pada 2018 - dilanda penghijrahan besar-besaran ahli parlimen yang diketuai bekas timbalan presidennya Azmin Ali dalam Langkah Sheraton pada 2020.
Ditanya mengenai kedudukan PKR serta Anwar, Fahmi berkata, mereka masih relevan dan pembangkang masih kekal dengan pendirian sebelum ini iaitu ahli parlimen Port Dickson itu adalah calon perdana menteri.
"Anwar ialah pemimpin yang membawa kita sejauh ini dan dia akan memimpin kita lebih jauh.
"Tetapi dia juga sudah menjelaskan kepada kita bahawa dia bukannya semakin muda. Dia menerima kenyataan bahawa terdapat banyak bakat dan peluang dalam parti. Saya fikir dia memahami nilai itu,” kata Fahmi.
Tambah Fahmi Anwar masih memberikan kekuatan kepada parti dan Pakatan Harapan (PH).
“Kita mesti ingat ini kali pertama beliau memimpin PH dalam pilihan raya umum, jadi kita harus beri peluang kepada Anwar,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai