K’jaan akan lindungi aset Mara di luar negara
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan melindungi aset-aset kementerian itu di luar negara bagi memastikan aset berkenaan tidak menjadi sasaran tuntutan oleh pihak luar yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian menerusi beberapa agensinya terutama Majlis Amanah Rakyat (Mara) memiliki aset di beberapa negara.
Difahamkan Mara memiliki aset termasuk bangunan antaranya di Melbourne, Australia; London, United Kingdom; Washington, Amerika Syarikat dan Mesir.
Mahdzir berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas Prospek Pedu, di Kuala Nerang hari ini apabila diminta mengulas tindakan kementerian untuk melindungi aset di luar negara susulan laporan mengenai aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas waris kesultanan Sulu, yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.
Mahkamah Rayuan Paris bagaimanapun membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.
Mahdzir berkata kementerian memantau perkembangan isu itu dan telah menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara itu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai