Skip to main
Logo Malaysiakini

Perlembagaan Umno: Kalau tak lulus, pemilihan dulu baru PRU - Mahdzir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahdzir Khalid menunjukkan sikap 'terbuka' mengenai kedudukan Umno menjelang keputusan dibuat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung pindaan perlembagaan diingini parti terbabit.

Kata Naib Presiden Umno buat masa ini apa yang perlu dilakukan parti ialah menunggu keputusan dikeluarkan ROS.

Apabila keputusan sudah ditetapkan ROS, katanya, Umno perlu menerimanya.

“Ada dua (keputusan) sama ada lulus atau tidak lulus, itu sahaja.

"Kalau tidak lulus, pemilihan Umno kena buat dahulu, selepas itu baru pilihan raya (umum).

"Kalau lulus mungkin boleh pilihan raya dahulu dan (sesudah itu) baru buat pemilihan,” jelasnya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu dipetik sebagai berkata demikian semasa menjawab soalan media di Pedu, Kedah, hari ini.

Walau ada perjanjian bersama

Umno sudah meluluskan usul meminda perlembagaannya bagi membolehkan pemilihan parti ditangguhkan selama 18 bulan iaitu sehingga sesudah pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Langkah itu diambil bagi membolehkan semua ahli menumpukan perhatian kepada PRU ke-15 dan mengelakkan perpecahan dalaman ekoran persaingan sesama sendiri.

Bagaimanapun pindaan usul itu bergantung kepada kelulusan yang diberikan ROS. Pada 7 Julai lalu, jabatan itu - yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri - memaklumkan keputusan mengenainya akan diberitahu selewat-lewatnya 16 Julai ini.

Mahdzir berkata setakat ini Umno belum lagi dimaklumkan ROS mengenai permohonan tersebut dan perlu menunggunya.

"Apabila keputusan keluar, pada waktu itu (barulah) Umno terima keputusan apa yang diputuskan," katanya.

Sementara itu Mahdzir berkata keputusan sama ada jawatan timbalan perdana menteri perlu diadakan segera atau tidak hanya akan ditentukan oleh Ismail Sabri Yaakob selaku perdana menteri.

Justeru kata ahli parlimen Padang Terap itu lagi, Ismail Sabri wajar diberikan ruang untuk membuat keputusan mengenainya walaupun ada perjanjian mengenainya dimeterai.

“Jawatan timbalan perdana menteri itu hak prerogatif perdana menteri... hak beliau, jadi biar beliau putuskan walau ada perjanjian bersama atau apa sekalipun, biarkan pada perdana menteri.

“Sama juga pilihan raya (umum), hak perdana menteri juga.

"Beliau ada laporan, tahu apa yang berlaku di persekitaran, di antarabangsa, Asean, jadi beliau boleh putuskan berdasarkan maklumat yang ada,” katanya.