Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan kontraktor Melayu ikrar sokong padu Ismail Sabri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) hari ini menyatakan sokongan penuh mereka terhadap Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, untuk terus memimpin negara.

Presiden persatuan itu, Mohamed Fadzill Hassan, berkata nasib kontraktor bumiputera dalam keadaan susah ketika ini dan sangat memerlukan pembelaan kerajaan.

"Dengan mengambil contoh semangat (filem) Mat Kilau, kita harap pemimpin dari Pahang ini, Ismail Sabri, dapat menjadi pembela nasib kami.

"Sejak 2018 hingga hari ini, lebih 49,000 kontraktor yang juga ahli PKMM 'tutup kedai' dan tidak dapat memperbaharui lesen dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"Kami bukan nak bodek, kami bukan nak cari makan nak lompat sana nak lompat sini, masuk parti itu masuk parti ini, nak cari makan, that's not our style (itu bukan stail kami).

"Darah saya tetap biru, tetap Umno selamanya," kata Fadzill ketika berucap pada majlis mesyuarat agung tahunan kali ke-38 PKMM di Bera, Pahang, hari ini.

Mesyuarat itu dirasmikan Ismail Sabri yang juga ahli Parlimen Bera. Turut hadir Yang Dipertua PKMM Pahang, Abd Gapar Lambak.

Mengikut rekod PKMM, terdapat 133,584 ahli persatuan itu dan 71,724 adalah kontraktor kelas G1.

Sementara itu Ismail Sabri ketika berucap merasmikan mesyuarat itu mengumumkan kerajaan menyenaraikan 15 lagi bahan binaan yang dikawal harganya bagi meringankan bebanan ditanggung kontraktor ketika ini.

"Penambahan 15 lagi bahan binaan dalam senarai ini adalah bagi menambahkan empat bahan binaan yang dikawal harga dan telah diumumkan sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun, dia tidak memberikan senarai lengkap 15 bahan binaan yang dikawal harga itu.

Ismail Sabri turut meluluskan permohonan PKMM Pahang untuk mendapatkan dana pentadbiran persatuan itu berjumlah RM100,000.