Rajapaksa diizin masuk Singapura atas kapasiti 'lawatan peribadi'
Kementerian Luar Singapura (MFA) hari ini mengesahkan Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa dibenarkan masuk ke republik itu atas kapasiti lawatan peribadi.
“Dia tidak meminta suaka mahupun diberikan suaka. Singapura secara amnya tidak meluluskan permintaan bagi mendapatkan suaka,” kata jurucakap MFA bagi menjawab pertanyaan media.
Rajapaksa dilaporkan berlepas ke Singapura dari Maldives pada petang tadi selepas melarikan diri dari Sri Lanka.
Dia tiba dengan penerbangan Saudia dan mendarat di Lapangan Terbang Changi pada jam 7.17 malam, lapor sebuah media tempatan.
Sri Lanka menghadapi kebuntuan politik akibat krisis ekonomi terburuk yang melanda negara itu sejak mencapai kemerdekaan pada 1948.
Dalam tunjuk perasaan antikerajaan yang memuncak pada Sabtu lalu, aktivis di Colombo menguasai kediaman presiden dan perdana menteri, sambil menuntut mereka meletak jawatan.
Rajapaksa - yang meninggalkan negara itu pada lewat Selasa - melantik Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe sebagai presiden sementara.
Wickremesinghe telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan perintah berkurung di Colombo.
Parlimen akan mengadakan pilihan raya presiden pada 20 Julai ini dan melantik kerajaan sementara yang akan berkuasa sehingga pilihan raya umum akan datang.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai