Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Anwar Ibrahim: Masih aset atau sudah jadi liabiliti?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saya ingin mengupas persoalan ini sempena kongres nasional PKR bermula hari ini, Jumaat 15 Julai hingga 17 Julai di Shah Alam, Selangor.

Gagal menjadi perdana menteri, bukan bermakna Anwar Ibrahim suatu liabiliti kepada perjuangan PKR untuk menjadi kerajaan. Sebaliknya, Anwar adalah aset kepada perjuangan reformasi, sesuatu  yang lebih besar daripada sekadar hanya menjadi perdana menteri dan kerajaan.

Kenapa Anwar yang memulakan gerakan reformasi sejak tahun 1998 masih gagal menjadi perdana menteri? Berikut adalah jawapannya.

Musuh utama Anwar dalam politik ialah  golongan elit berkuasa di Malaysia dari dulu hingga kini. Elit yang menguasai ekonomi dan politik Malaysia sejak Merdeka pada tahun 1957 tidak akan membenarkan orang seperti Anwar menjadi perdana menteri. Mengapa?

Golongan ini yang terbina dari zaman kerajaan Perikatan diikuti dengan BN selama lebih 60 tahun membina kekayaan peribadi dan keluarga masing-masing hasil dari dasar kapitalis kroni.

Golongan ini bimbang dengan dasar-dasar ekonomi Anwar yang lebih memihak kepada kepentingan hidup rakyat jelata.

Golongan elit tidak suka pada mana-mana pihak melancarkan perang terhadap rasuah. Anwar pula menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai agenda utama perjuangannya. Siapakah di parlimen pada tahun 2013 yang mula-mula sekali mendedahkan skandal 1MDB? 

Orang itu ialah Anwar Ibrahim. Dua tahun kemudian beliau dihumban ke Penjara Sungai Buluh. Itu harga yang Anwar terpaksa bayar kerana mendedahkan skandal rasuah.

Perhimpunan sempena 1,000 hari Anwar dipenjarakan pada November 2017

Seperti diktator Robert Mugabe di Zimbabwe, begitulah kerajaan BN yang dikuasai oleh elit berkuasa menggunakan fitnah untuk memenjarakan Anwar, musuh politiknya.

Selepas bebas dan kembali menjadi ketua pembangkang, apa antara isu rasuah yang Anwar suarakan? Beliau menuntut  skandal kewangan yang didedahkan oleh Kertas Pandora's supaya dibahaskan di parlimen. Hal-hal seperti ini amat tidak disukai oleh golongan elit berkuasa.

Sebenarnya untuk berlaku adil kepada sejarah politik Malaysia, perjuangan reformasi yang ingin dibawa oleh Anwar telah dimulakan sejak tahun 1950-an dan 1960-an lagi oleh tokoh-tokoh politik terdahulu.

Ertinya, gerakan reformasi tidak bermula hanya pada zaman Anwar Ibrahim memimpinnya (selepas beliau dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri) pada bulan September 1998.

Sebagai contoh, Aziz Ishak, menteri pertanian bawah Tunku Abdul Rahman memulakan reformasi dalam bidang pengeluaran  padi dengan memecahkan monopoli pembekalan baja pertanian. Dia terkenal dengan cadangan radikalnya untuk kerajaan membina kilang baja sendiri. 

Golongan elit berkuasa ketika itu marah dan bertindak. Tunku tunduk kepada mereka dan memecat Aziz sebagai menteri. Aziz kemudiannya ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dipenjarakan di kem tahanan.  

Anwar tahu tapi dia degil

Anwar tahu sejarah itu semua. Tetapi dia degil. Anwar masih hendak merombak tata kelola institusi-institusi penting kerajaan seperti perkhidmatan awam, SPRM, SPR dan PDRM. Ini yang Anwar tegaskan berulang-ulang kali. 

Anwar begitu ghairah dengan perjuangannya untuk membina tata kelola yang baik bagi institusi-institusi penting yang dianggapnya sebagai tiang seri kerajaan. Boleh bayangkan, adakah golongan elit berkuasa akan membenarkan Anwar dengan agenda reformasinya itu berjaya?

Jawapannya tentu sekali tidak. Golongan elit berkuasa inilah yang berada di belakang tadbir melakukan segala macam intrik dan helah supaya perdana menteri ketujuh tidak menunaikan perjanjian untuk turun jawatan perdana menteri selepas dua tahun berkuasa di zaman Pakatan Harapan yang lalu. 

Mungkir janji  Dr Mahathir Mohamad itu bukan kebetulan. Ia adalah rancangan dalam grand design untuk menggagalkan Anwar menggantikan Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahamad Boestamam, Dr. Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) pada 50-an dan 60-an pernah membawa agenda perubahan ekonomi dan politik. Istilahnya tidak dipanggil reformasi. Tetapi maksudnya sama iaitu membawa perubahan yang lebih adil, lebih demokratik kepada rakyat. 

Golongan elit berkuasa ketika itu senang saja menekan pemimpin-pemimpin tersebut dengan melabel perjuangan mereka sebagai radikal. Tiga pemimpin tersebut semuanya dipenjarakan bertahun-tahun di lem tahanan di bawah ISA.

Tetapi golongan elit berkuasa sekarang pening kepala dengan Anwar. Sebab Anwar tidak radikal perjuangannya. Anwar 16 tahun jadi sebahagian etablishment Umno dan BN sebagai menteri. Dari pengalamannya dalam kerajaan dulu, Anwar tahu betul buruknya amalan kapitalis kroni, nepotisme dan rasuah. 

Politik Anwar yang sederhana, tidak radikal mudah difahami dan diterima oleh rakyat pelbagai kaum termasuk golongan perniagaan tulen, bukan kroni. Ini yang menakutkan elit berkuasa.

Pemimpin-pemimpin kiri terdahulu daripada pelbagai kaum seperti Kassim Ahmad, Dr Tan Chee Khoon, Dr MK Rajkumar, Prof Syed Husin Ali, Prof Madya Dr Sanusi Osman, Karam Singh, Tajuddin Kahar, Abdul Razak Ahmad, Rustam A Sani, Mohideen Kader, CC Yong, Prof Abd Halim Ali dan Syed Hamid Ali lebih lantang. 

Perjuangan politik dan ekonomi mereka untuk membawa perubahan di Malaysia lebih tegas. Masa itu, pada tahun 70-an, istilah reformasi belum lagi jadi istilah bagi perubahan, tetapi maksudnya sama dengan tujuan reformasi yang Anwar perjuangkan.

Tetapi golongan elit berkuasa tidak bimbang dengan tokoh-tokoh politik yang disebut tadi yang kebanyakannya datang dari Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh Malaya yang membentuk Fron Sosialis Malaya. Bagi lerajaan berkuasa pada waktu itu dan golongan elit di belakang, mereka melemahkan pemimpin-pemimpin kiri tersebut dengan mengatakan agenda kiri dan sosialis yang mereka tidak sesuai bagi Malaya.

Tidak cukup dengan propaganda itu kebanyakan nama di atas berakhir dalam penjara bawah ISA sama ada di kem Batu Gajah dan Kamunting, kedua-duanya di Perak.

Bukan kiri, bukan sosialis

Tetapi Anwar tidak radikal, tidak berideologi kiri, bukan seorang sosialis. Anwar bekas timbalan presiden Umno, sebuah parti Melayu yang eksklusif sifatnya. Anwar bekas timbalan perdana menteri dan pada suatu ketika pernah menjadi pemangku perdana menteri, yang biasa menghadiri jamuan perdana menteri, presiden dan raja-raja dari banyak negara sahabat di seluruh dunia. 

Imej Anwar ini yang senang dan dekat di hati rakyat biasa, tetapi amat membimbangkan golongan elit berkuasa, yang antara mereka ini ialah maha jutawan, bilioner, bekas menteri kewangan, ketua-ketua korporat gergasi dan bekas ketua-ketua GLC dan GLIC. 

Dari mulut mereka inilah secara langsung atau melalui agen-agen mereka (yang sedar atau tidak sedar), pada akhir-akhir ini apabila pilihan raya umum semakin dekat, dihamburkan perkataan-perkataan propaganda seperti Anwar perlu berundur, Anwar tidak lagi relevan, Anwar adalah liabliti kepada partinya sendiri.

Justeru itu, kepada anggota PKR yang sedang berkongres, janganlah terpedaya dengan propaganda dan kempen jahat golongan elit berkuasa yang cuba melemahkan Anwar.

Tiga kali Anwar telah disumbat ke penjara (tahun 1974, 1998, 2015), berjumlah 11 tahun kesemuanya. Golongan elit berkuasa telah gagal mematikan iltizam Anwar untuk melakukan reformasi di negara kita ini.

Pada tahun ini atau pada tahun hadapan 2023, pilihan raya umum ke-15 akan diadakan.

 Anwar sebagai presiden PKR, pengerusi PH dan ketua pembangkang akan mengetuai usaha untuk mendapatkan semula mandat rakyat melalui peti undi bagi membentuk pemerintahan baru yang memberikan harapan kepada rakyat dan Malaysia. 

Selamat berkongres dan salam perjuangan


HASSAN ABDUL KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.