Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak bekas presiden Honduras, 3 lagi individu ditembak mati

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL | Anak lelaki bekas Presiden Honduras Porfirio Lobo Sosa, bersama tiga lagi lelaki maut ditembak di sini awal Khamis, menurut Polis Honduras.

Rakaman video yang dikeluarkan pihak media memaparkan lelaki bersenjata yang lengkap berpakaian seperti anggota polis telah menarik keempat-empat mangsa keluar dari sebuah kereta dan memaksa mereka berbaris menghadap dinding sebelum menembak kepala mereka.

Kejadian berlaku pada jam dua pagi waktu tempatan (0800 GMT) di tempat letak kereta bangunan Torre Morazan, lapor media tempatan.

Mereka yang terbunuh ialah Said Omar Lobo Bonilla, anak lelaki Lobo Sosa, Luis Zelaya, anak saudara Jeneral Romeo Vasquez yang telah bersara.

Bekas presiden Honduras, yang memegang jawatan dari 2010 hingga 2014, menggelar penyerang sebagai "pembunuh terlatih."

Seorang lagi anak lelakinya yang berada dalam kenderaan lain tidak diapa-apakan.

-Bernama