'Khemas besar': Wan Azizah mahu tengok keadaan, Akmal tolak
KONGRES PKR l Pandangan yang berbeza terhadap pakatan pilihan raya akan menjadi tumpuan semasa kongres PKR hujung minggu ini.
Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu pemberita bahawa dia tidak akan menolak sepenuhnya dan akan menggunakan pendekatan tunggu dan lihat.
Dia merujuk kepada kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang menolak idea penubuhan khemah besar, dengan menggesa perwakilan parti hanya mengundi calon-calon majlis pimpinan pusat yang menentang pendekatan "khemah besar".
Pendekatan "khemah besar" sedang diterokai oleh beberapa pemimpin PKR dalam pakatan pilihan raya menentang BN, yang mungkin melibatkan kerjasama dengan Bersatu dan parti serpihannya, Pejuang, yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada 2020.
“Khemah besar atau tak khemah besar, itu memang ada pro dan kontra, itu adalah pendapat Rafizi.
“Saya tengok pada keadaan. Kalau mereka (mahukan) khemah besar… tapi nak jatuhkan khemah itu, tak perlulah,” katanya dalam sidang media selepas perasmian di IDCC, Shah Alam, hari ini,
Sebelum itu, pagi tadi Ketua Pemuda PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang akan mengundurkan diri selepas esok yang juga adalah sekutu Rafizi berkata pendekatan "khemah besar" telah ditolak oleh akar umbi.
Dalam ucapannya di kongres Pemuda PKR, dia berkata, perbincangan khemah besar yang dihebohkan sebelum ini hanya berkisarkan kepada percaturan jawatan semata-mata.
"Pendirian kita selama ini jelas dan konsisten, selari dengan majoriti suara akar umbi, iaitu kita tidak mahu hanyut dengan cakap-cakap politik khemah besar.
"Sehingga kini, perbincangan khemah besar berkisarkan kepada siapa nak jawatan, tokoh 'Melayu mudah lupa' (merujuk Dr Mahathir Mohamad) tak suka siapa, esok nak berkawan tapi bersyarat, lusa tak nak kawan balik.
"Maaf cakap, ini buang masa kalau dilayan dan tiada hasil," katanya.
Mengulas lanjut, Akmal yang juga ahli Parlimen Johor Bharu berkata, perbuatan catur-mencatur jawatan adalah sia-sia dan perlu dihentikan.
Sebaliknya, kata sekutu Rafizi itu, fokus kini mesti terarah kepada isu-isu rakyat.
"Janganlah tiru sikap musuh kita di sebelah sana, mengatur langkah politik sepanjang masa demi membebaskan tengkuk daripada hukuman penjara mahupun mencatur dan melobi untuk kaut jawatan atau kekayaan yang seterusnya.
"Sekiranya kita ada political will (keinginan politik) untuk move on (bergerak ke hadapan), ikhtiar melalui PH untuk tumpu sepenuhnya membela rakyat boleh menghidupkan kembali semangat pendokong PH, sekali gus mengembalikan penglibatan dan kerjasama akar umbi parti-parti komponen," katanya.
Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata, konsep pendekatan “khemah besar” yang merangkumi parti-parti pembangkang sebagai mengelirukan dan berkata parti-parti induk Pakatan Harapan harus merangkul kekuatan.
“Saya tidak guna khemah besar. Saya kata mesti merangkul kekuatan.
“Induk ini harus diperkukuh dan diperkuat sebab dalam pengalaman kita PKR sebagai satu parti, DAP sebagai sahabat rakan setia dan Amanah itu nampak begitu mantap,” katanya dalam satu wawancara yang disiarkan di Selangorkini,
Anwar juga membayangkan sukar untuk PH bekerjasama semula dengan Bersatu yang berpaling tadah melalui Langkah Sheraton sehingga menyebabkan kerajaan 22 bulan PH tumbang dan Pejuang yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohammad.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai