Skip to main
Logo Malaysiakini

Fahmi kemuka usul pinda Akta Perlindungan Data Peribadi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Lembah Pantai dari PKR Fahmi Fadzil mengemukakan notis usul kepada Dewan Rakyat bagi membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

Menurutnya, pindaan yang dicadangkan itu bertujuan memberi lebih banyak kebebasan kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi dan pesuruhjayanya bagi membolehkan mereka diletakkan di bawah Parlimen dan bukannya menteri komunikasi dan multimedia.

Undang-undang pada masa ini menetapkan bahawa adalah menjadi budi bicara menteri untuk melantik atau membatalkan pelantikan pesuruhjaya.

Ia juga menyatakan bahawa pesuruhjaya boleh melantik timbalan dan penolong pesuruhjaya atas kelulusan menteri.

Manakala menteri juga boleh mengeluarkan arahan berhubung dengan fungsi dan kuasa pesuruhjaya.

Fahmi mahu suruhanjaya itu bertindak mengikut budi bicaranya sendiri dan pelantikan pesuruhjaya perlu dilakukan melalui usul di Parlimen.

Dia juga berkata suruhanjaya itu harus bertanggungjawab kepada parlimen dan tidak menerima arahan daripada pihak eksekutif.

"Kita boleh beri cadangan, nasihat, malah kita boleh mengecam agensi atau suruhanjaya kerajaan.

“Sebaik-baiknya, ini boleh dilakukan dengan mempunyai jawatankuasa pilihan parlimen untuk diberi kuasa mengawasi hal-hal perlindungan data peribadi," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini dan KiniTV.

Pengarah Komunikasi PKR itu berkata ia juga akan membolehkan jawatankuasa pilihan parlimen memanggil pesuruhjaya atau pegawai berkaitan jika perlu, seperti apabila terdapat isu pelanggaran data dibawa ke perhatian parlimen.

[Baca berita penuh]