Anwar: Cari presiden lain jika nak saya jadi PM dengan 'jilat perasuah'
Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini memberitahu anggota parti itu yang menyifatkannya sebagai gagal kerana tidak dapat menjadi perdana menteri agar mencari presiden yang baru.
Menyampaikan ucapan dasar dalam Kongres Nasional PKR di Shah Alam hari ini, Anwar berkata dia mampu menjadi perdana menteri pada tahun lalu dengan sokongan ahli Parlimen Umno, termasuk mereka yang sedang berdepan perbicaraan di mahkamah,
Namun, katanya, dia tidak meneruskannya kerana tidak akan berkompromi dengan prinsipnya.
"Ada orang kata 'sudahlah, Anwar gagal'.
"Dengar sini, (jika) nak saya berjaya dengan menjilat perasuah, pilih presiden lain," katanya disambut sorakan perwakilan kongres.
Sebelum itu Anwar memberitahu dia mendapat sokongan 15 ahli parlimen Umno tahun lalu, selain sokongan 105 ahli parlimen pembangkang sedia ada.
Namun, dia tidak meneruskannya di saat akhir apabila beberapa pemimpin Umno yang berdepan pertuduhan jenayah didakwa memintanya untuk menutup kes mereka.
"Untuk beri pengakuan yang saya akan menutup kes melibatkan tokoh-tokoh utama dalam Umno-BN, saya jawab tak mungkin.
"Saya tak minta maaf (kepada mereka). Saya kata terima kasih, kita lawan dan hadapi dalam pilihan raya, insya-Allah," katanya lagi.
'Perisai terakhir para penyangak'
Dalam ucapannya, Anwar turut membidas ahli politik yang mendakwa sebagai pejuang Islam dan Melayu tetapi pada masa sama menyelewengkan berbilion ringgit dana awam.
Tanpa menamakan sesiapa secara khusus, ahli parlimen Port Dickson itu membandingkan mereka dengan bekas presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa yang baru-baru ini terpaksa meninggalkan negara.
"Nama pun 'raja paksa'. Paksa rakyat, menindas, menimbulkan permusuhan antara penganut Buddha, Hindu dan Muslim (di Sri Lanka). Akhirnya diterajang rakyat setelah menjarah harta dan khazanah negara," katanya.
Dia berkata individu seperti itu sentiasa ada dalam politik.
"Bila terdesak, kata demi kepentingan negara, demi Melayu dan Islam. Padahal langkah-langkah yang diambil semuanya langgar tata susila dan adab Islam. Mana ada adab Islam izinkan khazanah negara berbilion ringgit diambil untuk kepentingan individu.
"Sebab itu ada pandangan (mengatakan) patriotism is the last refuge for the scoundrel (patriotisme menjadi perisai terakhir para penyangak)," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai