Anwar akui kelemahan PH raih sokongan luar bandar
Presiden PKR Anwar Ibrahim mengakui kelemahan PH untuk menembusi kawasan luar bandar dan menyampaikan mesej kepada penduduk di sana, terutama di kalangan majoriti orang Melayu.
Anwar yang juga penerusi PH berkata, kelemahan itu turut disedari oleh pemimpin kanan yang lain seperti Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
“Saya akui kelemahan PKR dan saudara Loke, Mat Sabu sedia faham, kelemahan kita dalam PH juga adalah kurang upaya untuk menerobos masuk ke kawasan desa, terutamanya majoriti orang Melayu untuk memberikan penjelasan kepada rakyat.
“Saya yakin Insya-Allah..dalam mesyuarat pertama pimpinan baru, kita akan jadikan ini satu keutamaan bersama saudara Loke, Sabu dan Madius (Presiden Upko Wilfred Madius Tangau). Kita juga akan bicara dengan lebih mendalam,” katanya dalam ucapan dasar dan perasmian Kongres Nasional PKR ke-16 di Shah Alam hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson menyentuh mengenai hala tuju PKR yang menurutnya sejak dari mula menolak ketidakadilan dan amalan rasuah.
Katanya, isu-isu berkaitan rakyat seperti kos sara hidup, perumahan, pendidikan bermutu dan upah pekerja sukar untuk disampaikan oleh PKR dan PH kerana halangan untuk menerobos masuk ke kawasan luar bandar.
“Ini kerana sistem begitu rupa… kalau tonton TV, baca media dan apa yang diasak dalam sistem pendidikan kita, ia tidak menjurus kepada pemikiran kritis menilai antara haq dan batil tetapi hanya hafal dan menurut perintah.
“Sebab itu penjawat awam dilantik, bila tandatangan surat (tertera) ‘saya yang menurut perintah. Tak perlu fikir, turut perintah (saja),” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai