Skip to main
Logo Malaysiakini

Henti bersaing lepas pemilihan PKR jika mahu jadi calon PRU - Anwar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden PKR, Anwar Ibrahim memberi amaran kepada pemimpin akar umbi parti itu supaya tidak meneruskan persaingan sesama sendiri selepas pemilihan parti diadakan.

Anwar berkata, mereka yang masih berdegil tidak akan menerima watikah pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-15.

“Selaku presiden, saya akan pastikan saf pimpinan utuh, bersatu dan hormati jemaah dan kekal inklusif, merangkul semua kekuatan parti sebagai gerakan rakyat, menghayati idealisme perjuangan lebih sukar dari sekadar ungkapkannya. Gesaan ini terpakai kepada semua pimpinan.

“Saya selaku presiden tidak akan maafkan saudara di ranting cabang AMK (pemuda) atau wanita yang pilih untuk teruskan persaingan sebelum pemilihan parti.

“Kalau terus berlaku begitu, jaminlah takkan ada watikah yang akan sampai pada saudara,” katanya dalam ucapan dasar dan perasmian Kongres Nasional PKR ke-16 di IDCC, Shah Alam hari ini.

Mengimbas semula Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Anwar membangkitkan semula amaran keras terhadap pengkhianatan di dalam parti, di mana dia menyamakan dengan kisah Si Kitul dan Raja Mendeliar dalam ucapan dasarnya.

Dia ketika itu menjelaskan bahawa ia merupakan mesej pengajaran betapa bahayanya fitnah dan pengkhianat sangat berbahaya untuk sesebuah negara.

Kenyataannya itu dibuat Anwar sehari selepas sekumpulan pemimpin parti yang memihak kepada Azmin Ali yang ketika itu timbalan presiden meninggalkan dewan semasa ucapan tersebut disampaikan.

Dalam ucapannya hari ini, Anwar menegaskan bahawa apa yang terjadi dalam kisah Si kitul dan Raja Mendeliar itu perlu dijadikan satu pengajaran oleh PKR.

“Jangan terhakis idealisme, jangan terpukau kilauan kuasa dan harta, ada orang yang dulunya reformis bersama kita, tetapi bila diberikan sedikit ujian dan kuasa dan harta, kilauan itu kaburi mata mereka, terhakis idealisme.

“Untuk ke depan, saudara kena ingat, harus ada kekuatan, kesabaran dan sikap dan semangat kasih sayang. Parti tidak ditegakkan melalui kebencian dan permusuhan,” katanya.