Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramasamy gesa tubuh RCI tangani isu tuntutan waris kesultanan Sulu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkongsi gesaan sama dibuat pemimpin Umno untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani tuntutan oleh keturunan kesultanan Sulu.

“Saya cukup bersetuju dengan Naib Presiden Umno (Mohamed Khaled Nordin) bahawa pendekatan yang sepatutnya adalah dengan menubuhkan RCI.

“RCI mungkin merupakan mekanisme yang berkesan (yang akan) bukan sahaja menangani tuntutan keterlaluan yang dibuat oleh waris kesultanan Sulu, tetapi juga mengkaji keseluruhan perkara mengapa kedaulatan Sabah masih dipersoalkan.

“Sebuah RCI boleh meneliti secara kritis tuntutan keturunan kesultanan Sulu ke atas Sabah,” kata Ramasamy.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perai itu juga berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa kes yang sama pentingnya dengan tuntutan ke atas Sabah memerlukan RCI untuk menjawab soalan, termasuk:

Mengapakah terdapat keperluan untuk memotong pembayaran tahunan kepada pihak yang menuntut pada tahun 2013?

Mengapakah proses timbang tara digerakkan?

Mengapakah mekanisme timbang tara gagal menangani dan menyelesaikan masalah yang berpunca daripada pengurangan pembayaran tahunan?

“RCI akan membolehkan kerajaan menyelesaikan perkara yang berkaitan dengan kedaulatan Sabah.

“Adakah ini salah kerajaan BN atau Pakatan Harapan?” soalnya

Aset Petronas dirampas

Gesaan ini hadir selepas dilaporkan bahawa pewaris kesultanan Sulu merampas dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Menurut laporan sebelum ini, penuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Pewaris kesultanan Sulu juga menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Dalam kenyataannya, Ramasamy menyifatkan rampasan itu sebagai perkara yang sangat serius dan ia mengancam kedaulatan Sabah.

“Adalah jelas bahawa aset tersebut telah dirampas oleh pihak yang menuntut sebagai sebahagian daripada tuntutan mereka yang lebih besar dan lebih fundamental terhadap kedaulatan Sabah.

“Perkara rampasan boleh diketepikan buat sementara waktu melalui campur tangan peguam yang bertindak atas arahan Malaysia dan Petronas.

“Bagaimanapun, hakikatnya masih ada waris menuntut lebih RM60 bilion daripada Malaysia atas kehilangan Sabah,” katanya.

Kerajaan membentuk pasukan petugas

Rampasan itu menyebabkan kerajaan membentuk pasukan petugas yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Tujuan pasukan petugas itu dikatakan untuk meneliti, memantau dan merangka pelan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada untuk menangani isu tuntutan yang dibuat terhadap Malaysia oleh waris kesultanan Sulu yang dikatakan.

"Saya berpendapat penubuhan pasukan petugas oleh kerajaan mungkin merupakan tindak balas yang buruk untuk menangani tuntutan oleh keturunan kesultanan Sulu," kata Ramasamy.

Dalam kenyataannya, Ramasamy turut mengakui terdapat kekurangan kejelasan berhubung tuntutan terhadap Sabah.

“Apabila bercakap mengenai tuntutan ke atas Sabah oleh keturunan kesultanan Sulu, perkara itu seolah-olah diselubungi misteri.

“Walaupun Sabah merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, tuntutan oleh keturunan kesultanan Sulu masih tidak dapat diselesaikan.

“Hakikat bahawa Malaysia membayar gaji tahunan kepada waris Sultan Sulu sehingga pemberhentiannya pada 2013 nampaknya merupakan pengiktirafan tersirat terhadap tuntutan yang dibuat,” kata Ramasamy.

“Mengapa perkara ini tidak diselesaikan pada masa pembentukan Malaysia? Adakah ini satu pengiktirafan bahawa Malaysia masih belum menyelesaikan persoalan kedaulatan ke atas Sabah?" soalnya.