Skip to main
Logo Malaysiakini

Wakil PKR Perak gesa ambil tindakan ahli terlibat 'pertikaian luar parti'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perwakilan Perak menggesa pucuk pimpinan PKR mengambil tindakan terhadap anggota parti itu yang melanggar disiplin parti apabila membuat laporan polis dan juga kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selepas tewas dalam pemilihan baru-baru ini.

Berucap pada Kongres PKR di Shah Alam hari ini, Ng Shy Ching atau Sandrea Ng, yang juga Adun Teja berkata pertikaian di luar saluran parti akan mendedahkan parti kepada risiko luar kawalan.

"Saya juga menyeru agar pimpinan parti mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang telah melanggar disiplin parti kerana membuat laporan polis dan aduan ROS selepas kalah dalam pemilihan.

"Hal ini penting untuk memastikan disiplin parti sentiasa terpelihara. Jangan sesekali kita terkeliru di antara ruang demokrasi dan juga disiplin sebagai seorang anggota parti," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden.

Katanya, ucapan Penasihat PKR Wan Azizah Wan Ismail semalam ketika Kongres Wanita PKR wajib direnungi oleh seluruh pimpinan dan anggota PKR.

Tambahnya, PKR tidak memerlukan anggota yang menjadi musuh dalam selimut ataupun api dalam sekam.

Sementara itu, wakil Pemuda PKR, Mohd Hafiz Mohamad meminta parti itu mengkaji semula sistem pemilihan parti yang dilihat banyak kelemahan ketika ini.

Jelasnya, dengan jumlah keahlian PKR yang semakin ramai, sistem pemilihan satu ahli satu undi yang dipraktikan ketika ini menimbulkan banyak kesukaran.

"Ada dua perkara penting untuk direkodkan dan dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang akan datang untuk barisan kepimpinan yang baru. Yang pertama kita minta kaedah sistem pemilihan parti pada kali ini dikaji semula. Kalau perlu ditambah baik, kita tambah baik, kalau perlu 'post mortem', kita 'post mortem'.

"Kalau perlu untuk kita pinda perlembangaan, kita pinda perlembagaan. Semakin besar semangat PKR semakin bertambah keahlian, semakin sukar untuk kita menguruskan pemilihan dalam keadaan satu ahli satu undi.

"Maka pendekatan yang lebih efisyen perlu kita pertimbangkan," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden.