Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: Rafizi bukan lagi di pinggiran, guna platform tertutup buat kritikan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden PKR Anwar Ibrahim menggambarkan Rafizi Ramli yang dikenali dengan kelantangannya bukan lagi "di pinggiran", sebaliknya kini sebagai "Rafizi di barisan kepimpinan", setelah baru sahaja menang jawatan timbalan presiden.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan Rafizi terhadapnya hari ini.

Ketua pembangkang itu berkata dia tidak terasa hati dengan apa yang disuarakan Rafizi kerana sudah biasa dengan sikap lantangnya itu.

“Tak ada.. tak akan berterusan. Saya kenal dia, saya tahu dia pun ada sikap yang positif, dia tahu fokus dan peranan dia. Dia bukan lagi Rafizi di pinggiran, dulu yang diwawancara itu Rafizi di pinggiran.

“Sekarang Rafizi dalam barisan kepimpinan jadi dia harus terima kenyataan kerana sebahagian tugas saya akan serahkan kepada dia.

“Dia akan dipertanggungjawabkan secara langsung, bukan lagi Anwar ataupun Saifuddin ataupun pimpinan yang lain,” katanya ketika ditanya sama ada dia bimbang jika kelantangan Rafizi itu berterusan.

Terdahulu, Rafizi berkata parti harus menerima hakikat yang Anwar telah hilang popularitinya dan parti perlu melakukan sesuatu, sambil mengingatkan supaya barisan kepimpinan yang baru untuk tidak membodek atau mempertahankan Anwar apabila dikritik.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Anwar berkata dia enggan memanjangkan isu tersebut kerana sudah kenal dengan sikap Rafizi.

Namun, pengerusi Pakatan Harapan(PH) itu berkata walaupun PKR bersikap terbuka dalam percanggahan pendapat tetapi mengingatkan bahawa ia perlu dilakukan melalui platform tertutup.

“Saya tak mahu panjangkan isu ini kerana ini Rafizi, kalau dia tak gunakan forum itu untuk menyinggung sikit-sikit, itu bukan dialah.

“Saya harap mudah-mudahan dalam beberapa perbincangan awal nanti kita pujuk supaya reda hal ini dan tumpu (untuk) menyerang musuh, tumpu menguatkan parti dan menyerang musuh.

“Jadi bila dia sibuk bab itu, dia tak nampak sangat masalah dalaman ini kerana masalah dalaman boleh bincang, boleh kritik, boleh tegur, boleh canggah, boleh bantah dalam forum dalaman. Itu adab jamaah,” katanya.

Rafizi yang telah beberapa tahun “berehat” daripada dunia politik sebelum ini kembali membuat kemunculan semula selepas PKR kalah teruk dalam beberapa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri baru-baru ini.

Bekas ahli parlimen Pandan itu memenangi jawatan timbalan presiden parti selepas mengalahkan Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini.

Sementara itu, Anwar menambah, kepimpinan perlu melihat aspek positif pada Rafizi dalam parti dan bekerja rapat dengannya, Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail serta pimpinan yang lain.

“Saya tahu potensi dia, saya tahu kekuatan dan keupayaan dia, dan seperti dia tahu, saya juga tahu kelemahan dia. Dan antara lain adalah meredakan suhu parti,” katanya.