Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi bagi panadol, hilang pening saya - Anwar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyifatkan kehadiran Rafizi Ramli dalam saf kepimpinan parti selaku timbalan presiden umpama memberikan "Panadol" kepadanya.

Mengakui Rafizi sebagai seorang pemimpin yang ‘kontroversi’, Anwar berkata dia sangat mengenali bekas ahli parlimen pandan itu dan tahu akan kebolehannya.

“Kadang-kadang pening saya. Saya bisik dia tadi awal- awal, aku ni Rafizi, lama dah dengan kamu ni. Janganlah tambahkan pening aku.

"Rupa-rupanya dia datang bagi ucapan, dia bagi panadol, hilang pening saya,” kata Anwar ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional ke-16 PKR di Shah Alam, hari ini.

Menurut Anwar, dia mengenali Rafizi sejak sekian lama dan mengakui timbalannya itu memiliki kebolehan dan kepintaran yang disifatkan sebagai ‘luar biasa’.

“Saya tak berkecil hati kerana saya tahu tujuan dia baik. Masalahnya ni kadang-kadang penyokong bebal itu ramai.

"Sebab mereka tidak faham, tak mengerti yang kita dalam perjuangan ini, semangat ukhuwah persaudaraan itu tebal.

“Ya betul, kadang-kadang ada perbezaan pendapat yang agak sengit, tapi ini (Rafizi) bukan orang khianat.

“Ada beza orang keras yang berpendapat dan berpendirian yang agak menyanggah pendapat kita, tetapi (mereka) bukan khianat, bukan kaki fitnah, bukan perompak dan perasuah.

"Yang kita ajak perang ini orang rasuah dan khianat. Tumpu ke arah itu.

“Dan Ini menyebabkan saya berasa lega dan bersyukur bahawa kita ada barisan kepimpinan yang sebahagiannya baru..," kata Anwar.

Semalam Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR mengingatkan kepimpinan baru parti itu tidak perlu membodek atau mempertahankan Anwar apabila presiden parti itu dikritik.

Menurut Rafizi, tiada sesiapa perlu mempertahankan Anwar daripada sebarang kritikan kerana peranan penting PKR adalah untuk menarik semula sokongan rakyat terhadap parti itu.

“Kalau saya menjadi Anwar Ibrahim, saya rasa kita perlu terima factual finding (hakikat sebenar) kerana jika kita tidak melakukan apa-apa, ia (situasi sedia ada) akan diterjemahkan kepada keputusan pilihan raya, (di mana) hakikatnya dia telah hilang populariti.

“Apa yang penting untuk parti dan kepimpinan baru adalah bukannya cuba membodek Anwar ke, pertahankan Anwar ke...," kata Rafizi.

Dalam pada itu Anwar yakin dengan sokongan rakan komponen Pakatan Harapan (PH), pembangkang mampu menumbangkan Umno pada PRU15 nanti.

"Saya cukup yakin, dengan bantuan rakan di PH, kita akan tumbangkan Umno. PRU15 ini akan menjadi sejarah betul-betul.

"2018 menjadi sejarah, tetapi reformasi kita sudah terbatas. Saya bertemu perdana menteri ketika itu dan semua dia janji semua dia terima. Sekarang, saya janji bahawa semua akan buat (jika jadi perdana menteri)," katanya lagi.