Skip to main
Logo Malaysiakini

Pinda perlembagaan parti: Umno harap Hamzah tak ada halangan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berharap rakan sejawatannya dari Bersatu Hamzah Zainudin tidak mempunyai apa-apa halangan dengan permohonan Umno meminda perlembagaan parti.

Kenyataan itu hadir ketika Umno Umno sedang menunggu Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk memutuskan mengenai permohonan mereka.

Bercakap dalam temu bual malam tadi, Ahmad berkata bahawa Hamzah - yang juga menteri dalam negeri - pasti akan membantu Umno.

Pada 7 Julai, ROS berkata keputusan permohonan pindaan perlembagaan Umno akan didedahkan selewat-lewatnya pada 16 Julai.

Parti itu telah meminta kelulusan daripada ROS untuk meminda perlembagaannya, bagi membolehkan penangguhan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum.

Bagaimanapun, ROS masih belum menjawab permohonan Umno.

Ahmad berkata ROS masih mempunyai masa satu hingga dua minggu untuk memutuskan permohonan parti itu.

Ditanya mengenai langkah Umno seterusnya sekiranya permohonan parti itu gagal, Ahmad berkata: “Setiausaha agung Bersatu (Hamzah) jaga Kementerian Dalam Negeri amat tahu, tentunya dia akan menolong Umno memastikan Umno kukuh sebelum PRU," kata Ahmad dalam wawancara eksklusif dengan portal berita MalaysiaGazette.

"Saya harap Hamzah tak ada apa-apa halangan. Dia pun dah sebut ROS tu independent, betul ke? Ini soalan lain. kita harap benar ROS profesional,” tambahnya.

Semalam, Hamzah berkata dia tidak mempunyai kuasa ke atas ROS - walaupun ia berada di bawah kementeriannya.

"Sebagai menteri, saya hanya menyelianya," Hamzah dipetik sebagai berkata.