Skip to main
Logo Malaysiakini

MMA mahu peraturan saringan kesihatan pekerja asing dikaji semula

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa dua kementerian bertegas agar proses saringan kesihatan ke atas pekerja warga asing dijalankan dalam tempoh 30 hari mereka memasuki negara ini.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata pihaknya "terganggu" dengan keputusan mengenai isu berkenaan dan mempersoalkan jika rundingan yang sewajarnya sudah dilakukan sebelum ia dibuat.

“Memandangkan negara ini bakal berdepan dengan kemasukan sejumlah besar pekerja asing ke negara ini untuk menangani kekurangan tenaga kerja, kita mungkin boleh memikirkan untuk melanjutkan tempoh saringan kesihatan Fomema (Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing) kepada 60 hari.

“Tempoh satu tahun untuk saringan terhadap pekerja asing adalah terlalu panjang dan meningkatkan risiko penyakit berjangkit diimport ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua kementerian yang disentuh MMA itu ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sumber Manusia.

Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri membenarkan pekerja asing menjalankan ujian saringan kesihatan selagi ia berada dalam tempoh 365 hari pertama mereka memasuki negara ini.

Ada kapasiti mencukupi

Ketika Malaysia dilanda pandemik Covid-19, proses pemulihan negara terjejas dengan isu kekurangan.

Walaupun pengambilan pekerja asing sudah dibenarkan sejak Feb lalu, masalah kekurangan yang dihadapi sebelum ini masih belum dapat diatasi sepenuhnya ekoran proses kelulusan yang perlahan serta rundingan yang berlarutan dengan Jakarta dan Dhaka.

Minggu lalu, Duta Indonesia ke Malaysia Hermono dilaporkan berkata surat rasmi telah dihantar kepada Menteri Sumber Manusia M Saravanan pada 12 Julai berhubung keputusan Indonesia untuk menghentikan sementara penghantaran pekerja ke Malaysia.

Koh berkata, peningkatan kes batuk kering dan kusta sudah diperhatikan dan sebelum ini negara juga mengesan kes import daripada pekerja asing semasa proses saringan.

"Mengabaikan ancaman terhadap penduduk negara ini juga berpotensi memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan negara jika penyakit tertentu tidak dapat dikesan dan merebak dalam kalangan masyarakat," katanya.

Koh turut menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya kembali kepada peraturan saringan kesihatan dalam tempoh 30 hari atau melanjutkannya kepada 60 hari jika ada keperluan.

“Doktor swasta yang berdaftar dengan Fomema berada pada kedudukan yang baik dan mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian mandatori ini.

"Selepas dua setengah tahun pandemik, kita seharusnya memahami kepentingan menjaga kesihatan penduduk daripada penyakit berjangkit," katanya.

[Baca berita asal]