DUN Sabah tolak usul Shafie bahas tuntutan waris sultan Sulu
DUN SABAH | Usul untuk membahaskan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah yang dibawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) ditolak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Kinabalu hari ini.
Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya berkata usul itu ditolak berdasarkan Peraturan 23(2) yang mengkehendaki permohonan membawa mana-mana usul perlu dibuat dalam tempoh 24 jam sebelum bermulanya persidangan itu.
"Jadi sebabkan usul hanya dikemukakan pada 11.25 pagi tadi, maka masa 24 jam tidak dipenuhi menurut Peraturan 23(2), maka usul ditolak," katanya pada persidangan itu hari ini.
Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna kemudian bangun memohon usul itu dibahas pada mana-mana hari persidangan itu yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini kerana ia melibatkan isu penting kedaulatan Sabah.
"Tidak semestinya dibahaskan sekarang hari ini mungkin penghujung Khamis, sudah 65 tahun isu ini menghantui kita, saya bukan mengiktiraf Sultan Sulu tetapi ini kita ada undang-undang dan saya juga akan bawa ke Parlimen minggu depan," katanya.
Bagaimanapun, Kadzim kemudian menasihatkan Mohd Shafie untuk membawa usul itu ke Parlimen kerana ia melibatkan persekutuan dan isu itu harus ditangani Kerajaan Persekutuan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai