Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Negeri diserang dengan pembalakan walaupun jadi paru-paru negara

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seorang ahli parlimen dari Kelantan mempertahankan beberapa negeri yang sering dikritik kerana aktiviti pembalakan yang dijalankan mereka.

Kata Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) walaupun dikecam teruk, negeri terbabit sebenarnya mempunyai kawasan hutan simpan "yang sangat banyak".

Lebih daripada itu, kata ketua Pemuda PAS berkenaan, negeri yang dikritik itu sebenarnya bertindak sebagai paru-paru kepada negara ini.

"Apabila orang sebut tentang pembalakan, mereka menyerang negeri-negeri tertentu sedangkan negeri yang disebut itu mempunyai hutan simpan yang sangat banyak, yang membekalkan oksigen dan menjadi paru-paru kepada negara," katanya.

Ahmad Fadhli berkata demikian semasa berbahas mengenai Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Walaupun dia tidak menyebut sebarang nama, Kelantan - yang ditadbir PAS sejak 1990 - selalu dikritik kerana aktiviti pembalakannya dan didakwa menjadi punca kepada kejadian banjir.

Terbaru Kelantan dikecam kerana kegiatan penebangan hutan di Nenggiri, Gua Musang, untuk membolehkan projek empangan hidroelekrik dibangunkan.

Jangan teruskan amalan membuli

Selain Kelantan, Kedah - yang turut diketuai pemimpin PAS - juga dikaitkan dengan kegiatan pembalakan atau penebangan hutan.

Tampil yakin negerinya masih mempunyai hutan yang cukup besar, Ahmad Fadhli menggesa kerajaan pusat mendedahkan jumlah terkini hutan simpan mengikut negeri.

Katanya kerajaan persekutuan juga harus memberi insentif kredit karbon kepada negeri yang mempunyai saiz hutan simpan tertentu.

Ahmad Fadhli juga menggesa kerajaan menyediakan anggota renjer hutan bersama peralatan berteknologi tinggi seperti dron untuk melindungi hutan dan biodiversitinya.

Terdahulu, semasa membahaskan rang undang-undang yang sama, Wong Chen (PH-Subang) menggesa Putrajaya menyediakan lebih banyak dana kepada negeri seperti Kelantan yang bergantung kepada sumber hutan untuk pendapatan.

Wong Chen

“Kerajaan pusat perlu memberikan komitmen kewangan untuk memberi dana yang mencukupi kepada negeri yang memerlukan sumber hutan seperti Sabah, Sarawak, Pahang dan Kelantan.

“Kerajaan pusat tidak boleh meneruskan amalan membuli kerajaan Kelantan selama beberapa dekad, tidak memberi dana secukupnya sejak zaman Nik Aziz Nik Mat.

“Apabila dana tidak mencukupi, kerajaan negeri akan terdesak dan melakukan penebangan hutan,” katanya.

Ahli parlimen PKR itu - yang kampung halamannya di Kota Bharu - berkata dengan dana yang mencukupi, Kelantan menyumbang kepada perlindungan hutan dan menjadikannya lebih mampan.

[Baca berita asal]