Skip to main
Logo Malaysiakini

Dewan Rakyat sebulat suara lulus pindaan tingkat perlindungan hutan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan pindaan untuk meningkatkan perlindungan hutan di Malaysia.

Pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara 1984 antara lain menyukarkan lagi eksais terhadap hutan simpan kekal (HSK).

Dengan akta yang telah dipinda ini, pihak berkuasa negeri perlu menjalankan inkuiri awam terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Negeri juga perlu menggantikan HSK yang telah dieksais dengan tanah baru dengan keluasan sama atau lebih.

Selain itu, hutan taman negeri juga kini dikategorikan sebagai HSK.

Walaupun di atas kertas pindaan ini memberikan perlindungan yang lebih baik, terdapat halangan perundangan melangkaui pelulusannya di peringkat Dewan Negara.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, kesemua soal tanah - dan sehubungan itu, hutan - di bawah kawalan penuh kerajaan negeri, dengan pengecualian terhadap wilayah persekutuan.

Justeru, sebarang undang-undang untuk mengawal selia perkara itu, akan memerlukan kerajaan negeri untuk membuat pindaan ke atas undang-undang negeri agar akta ini dapat dikuatkuasakan.

Ahli parlimen dari kedua-dua pihak, termasuk Presiden Upko Wilfred Madius Tangau (PH -Tuaran) dan Salim Shariff (BN-Jempol) membangkitkan jika negeri-negeri akan membuat pindaan yang diperlukan.

Takiyuddin Hassan

Namun, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan yakin ia tidak akan menjadi masalah.

Katanya, ini kerana pindaan telah dibentang dan dipersetujui Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan perdana menteri dan semua menteri besar dan ketua menteri yang merupakan anggota majlis.

"Jadi saya anggap kerajaan negeri tiada halangan untuk pinda undang-undang negeri," katanya ketika ucapan penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.

Insentif kewangan

Selain menyukarkan lagi langkah nyah warta HSK, undang-undang baru ini juga membuatkan dana pembangunan taman negara digunakan untuk memberi pampasan kepda negeri atas sebarang perbelanjaan digunakan untuk menguruskan atau melaksanakan pembangunan lestari di hutan simpan.

Takiyuddin berkata ia secara langsung menggubal Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT).

EFT diperkenalkan oleh kerajaan PH sebagai cara memberi faedah kewangan kepada negeri kerana mewarta lebih banyak hutan simpan.

Ia diteruskan oleh kerajaan PN dan BN, dengan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob pada April lalu meningkatkan insentif EFT kepada RM100 juta.

Sementara itu, pindaan baru ini turut menyertakan hukuman lebih tegas.

Misalnya, hukuman untuk mengeluarkan hasil hutan secara haram, seperti pokok, tumbuhan dan malah madu, dengan jumlah melebihi lima meter padu dari HSK boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM1 juta atau kedua-dua sekali.

Pengeluaran hasil hutan secara haram dengan jumlah kurang daripada itu pula membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dendan RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Penalti membuang sampah di HSK juga dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM20,000. Terma penjara maksimum tiga tahun sebelum ini pula dikekalkan.

[Baca berita asal]