Skip to main
Logo Malaysiakini

Pindaan akta hutan mungkin bahayakan hutan CFS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pindaan kepada Akta Perhutanan Negara untuk melindungi hutan dengan lebih baik mungkin akhirnya membahayakan kawasan Central Forest Spine (CFS) dan biodiversiti di hutan lain, kata seorang bekas menteri.

Menurut Yeo Bee Yin (PH-Bakri) kemungkinan itu boleh berlaku kerana fasal yang meminta kerajaan negeri menggantikan hutan simpan kekal boleh dijadikan alasan untuk menyah warta CFS.

Membahaskan rang undang-undang itu hari ini, Yeo berkata walaupun pindaan terbabit kelihatan baik di atas kertas, menggantikan hutan simpan kekal boleh mengakibatkan pemecahan hutan yang akan memberi kesan negatif kepada ekologi.

"Pemecahan hutan akan menyebabkan kehilangan biodiversiti, peningkatan tumbuhan invasif, perosak, dan patogen, serta pengurangan kualiti air.

"Apabila hutan terpisah-pisah, pergerakan tumbuhan dan hidupan liar menjadi terhad, juga menyekat pembiakan dan aliran gen yang akan mengakibatkan pengurangan populasi flora dan fauna dalam jangka panjang," katanya.

CFS ialah rangkaian koridor ekologi di Semenanjung Malaysia yang bertujuan untuk pemuliharaan, dan membolehkan pelbagai hidupan liar berpindah dari satu hutan ke hutan yang lain.

Ia terdiri daripada empat kompleks hutan yang merangkumi lapan negeri, dan merupakan sumber air untuk 22.3 juta rakyat Malaysia, serta menempatkan lebih 1,000 spesies hidupan liar - termasuk harimau Malaya yang terancam, beruang matahari Malaya, tapir Malaya dan gajah Asia.

Secara teorinya, CFS dilindungi hutan simpan kekal yang mempunyai perlindungan lanjut yang diperkenalkan melalui pindaan Akta Perhutanan Negara.

Rang undang-undang itu diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat hari ini. Ia kemudian memerlukan kerajaan negeri mengadakan pendengaran awam sebelum melaksanakan sesuatu kawasan hutan simpan kekal, selain boleh menggantikannya dengan hutan yang sama atau lebih luas.

Yeo berkata persekitaran baru yang bukan hutan bersebelahan dengan hutan yang berpecah-pecah juga akan memberi impak kepada suhu hutan, pertumbuhan, dan daya tahan tumbuhan, serta mempunyai pelbagai kesan sampingan terhadap hidupan liar yang bergantung kepada tumbuhan tersebut.

Justeru dia bertanya apakah langkah yang akan diambil kerajaan untuk melindungi CFS.

Semasa rang undang-undang itu dibentangkan di peringkat jawatankuasa, Yeo juga meminta kerajaan memperkenalkan pengecualian untuk melindungi CFS daripada pengasingan.

Bagaimanapun pertanyaan dan permintaan Yeo tidak dijawab.

[Baca berita asal]