Perkeso nafi SPRM serbu pejabat di Putrajaya
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menafikan pejabatnya di Putrajaya diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.
Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso Izad Raya dalam satu kenyataan memaklumkan laporan portal bertajuk ‘SPRM angkut 40 pekerja Kementerian Sumber Manusia, Perkeso – sumber’ yang disiarkan hari ini adalah tidak benar dan telah menjejaskan nama baik pertubuhan itu.
"Tiada serbuan dibuat di KSM mahupun di Perkeso," katanya sambil menambah Perkeso kecewa kerana tidak dihubungi terlebih dahulu untuk mengesahkan fakta sebelum berita itu disiarkan.
Beliau berkata walaupun portal itu telah membetulkan fakta dalam berita kemudiannya namun laporan awal yang menyatakan pekerja Perkeso terlibat dalam penahanan oleh SPRM melalui Ops Hire berkaitan penyelewengan tuntutan PenjanaKerjaya sudah tular menerusi pelbagai platform media sosial termasuk baruWhatsApp.
Malah katanya berita itu turut menjadi sumber berita oleh beberapa media lain dan ini sudah tentu menjejaskan reputasi Perkeso yang sentiasa mendukung tinggi nilai-nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang digalas untuk membantu golongan sasaran yang memerlukan.
Izad berkata pihak Perkeso berharap portal itu dapat memperbetul situasi negatif yang telah mereka timbulkan hasil daripada penyebaran maklumat tidak benar.
Sebuah portal berita dalam laporan pada sebelah pagi mendakwa terdapat serbuan baru di pejabat KSM dan Perkeso berhubung Ops Hire namun mengeluarkan ralat pada kira-kira 1.50 tengah hari yang menyatakan belum jelas sama ada penahanan itu melibatkan kakitangan kedua-dua agensi.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini turut menafikan terdapat operasi sedemikian di kementeriannya.
Setakat ini, SPRM menahan 42 individu menerusi Ops Hire bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya.
Jumaat lepas, Perkeso dilaporkan telah menggantung bayaran di bawah PenjanaKerjaya sebanyak RM423 juta susulan siasatan berhubung penyelewengan serta tuntutan palsu membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan.
Program PenjanaKerjaya merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja mendepani cabaran Covid-19 serta dilaksanakan oleh Perkeso bagi membantu majikan menggaji pekerja yang menganggur selain membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai