Skip to main
Logo Malaysiakini

'Speaker tak boleh halang bahas rampasan aset Petronas'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam Haniff Khatri Abdulla menyangkal alasan subjudis yang digunakan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun untuk menolak usul membahaskan rampasan aset Petronas oleh waris kesultanan Sulu.

Dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, Haniff menjelaskan peraturan itu tidak terpakai di Malaysia kerana prosiding arbitrasi dijalankan di tempat lain, iaitu mahkamah tinggi di Madrid, Sepanyol, dan seterusnya oleh mahkamah arbitrasi Perancis.

“Lebih penting bagi saya, jika konsep subjudis hendak dipakai oleh speaker di Dewan Rakyat, maka ia tidak boleh terpakai terhadap anak guam dalam perbincangan antara anak guam dan anak guam (di Dewan Rakyat).

“(Ia) berhubung kerajaan Malaysia yang mewakili 32 juta rakyat… Makanya, tuntutan Sulu adalah berkaitan terus dengan hak kita rakyat Malaysia. Maka rakyat Malaysia berhak untuk bincang antara sama kita melalui wakil-wakil (yang) kita pilih di PRU-14,” katanya.

Tambahnya, usul Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis hanya menuntut penjelasan daripada kerajaan, bukannya mempersoalkan keputusan mahkamah.

“Alasan diberikan oleh speaker adalah alasan yang dangkal dan tidak terpakai langsung mengikut takrif dan penggunapakaian konsep subjudis.

“Apa yang dipohon (Isnaraissah) berkaitan penjelasan diperlukan oleh rakyat, tentang apanya alasan atau sebab yang membawa kepada laporan sitaan terhadap asset petronas, apakah langkah seterusnya serta kedudukan rayuan Malaysia di mahkamah rayuan Perancis dan Sepanyol,” kata Haniff.

Sama seperti 1MDB

Dia kemudian memetik insiden serupa ketika Speaker Dewan Rakyat ketika itu Pandikar Amin Mulia menyekat beberapa percubaan ahli Parlimen daripada membahaskan skandal 1MDB.

“Sekarang speaker hendak buat kesilapan yang sama. Saya khuatir perkembangan ini akan dilihat oleh satu dunia sebagai satu lawak jenaka bersempadankan kepada national embarassment… kerana rakyat tidak berhak tanya perkara penting demi kedaulatan, keselamatan aset negara,” katanya.

Oleh itu, Haniff berkata, speaker perlu mengubah fikiran dan membenarkan ahli-ahli parlimen membahaskan isu rampasan aset Petronas itu secepat mungkin.

“Di bawah Aturan Mesyuarat 43, speaker boleh menerima rayuan dan batalkan keputusan asal. Saya harap sesegera mungkin, selewatnya esok, speaker akan buat keputusan bernas, iaitu batalkan keputusan, dan tetapkan tarikh sesuai minggu ini untuk dibahas... Ini bukan isu politik, ini isu kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat kecoh selepas Azhar menolak usul Isnaraissah bagi membincangkan isu rampasan aset Petronas di luar negara oleh waris kesultanan Sulu.

Menurut Financial Times yang berpangkalan di London, rampasan itu melibatkan Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Petronas berkata kedua-dua aset itu sudah dilupuskan.

Rampasan itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang waris kesultanan Sulu pada 2017 untuk mendapatkan pampasan tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat British pada 1878.

Susulan daripada itu, kabinet pada 13 Julai lau menubuhkan pasukan khas yang diketuai oleh menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan bagi menangani isu tuntutan itu.

Pada 12 Julai, waris kesultanan Sulu – yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia–merampas dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.