Skip to main
Logo Malaysiakini

Syarikat tersenarai di Bursa Malaysia jadi kontraktor bina KB Sentral

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

DUN KELANTAN | Kerajaan memilih sebuah syarikat yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia sebagai kontraktor bagi membina Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) di Tunjong, Kota Bharu.

Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Hanifa Ahmad berkata syarikat terbabit dipilih berdasarkan request for proposal (RFP) yang dikeluarkan kerajaan pada 2020.

Katanya pemilihan syarikat terbabit dibuat pada 1 Jun lalu.

Katanya turut akan dibina ialah bangunan komersial dan pangsapuri.

"KB Sentral dijangka siap pada 2025, manakala pembangunan lain dijangka siap dalam tempoh sembilan tahun," katanya pada sesi soal-jawab lisan sidang DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Hanifa berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang kemudiannya disusuli soalan tambahan yang mempersoalkan sejauh mana komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan projek tersebut.

Sebagai rekod projek KB Sentral menjadi perhatian selepas isu pembinaan dibangkitkan susulan keadaan stesen bas sementara di Lembah Sireh, tular di media sosial khususnya di kalangan rakyat Kelantan yang turut membandingkan dengan kemudahan sama di negeri-negeri lain.

Malah ada juga pihak yang menggambarkan keadaan stesen bas sementara itu seperti 'kandang lembu' susulan kehadiran kelibat haiwan tersebut di sekitarnya.

Pada 25 Mei lalu ini Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah pada ketika itu menyatakan pelancaran projek tersebut atau majlis pecah tanah akan diadakan dalam tempoh sebulan, namun sehingga kini ia belum dilaksanakan.

Selari dengan Sukma

Sementara itu Hanifa berkata, kerajaan negeri sudah memberi tekanan kepada pihak kontraktor supaya projek tersebut disiapkan mengikut jadual atas beberapa faktor utama.

Katanya, keutamaan projek tersebut pertamanya sebagai menggantikan stesen bas sementara di Lembah Sireh.

"Keduanya, kerajaan negeri mahu selarikan dengan pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di mana kedudukan lokasi yang berhampiran dengan KB Sentral.

"Kita berhasrat untuk menyiapkan dan kita sudah bagi tekanan kepada kontraktor yang dilantik segera memulakan projek tersebut dan kita berhasrat melancarkan projek ini dalam tempoh sebulan lagi.

"Selain itu, kita juga mahu selesaikan supaya selari dengan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) di Kelantan pada 2026," katanya.

Tegas Hanifa lagi, projek KB Sentral kini diberi keutamaan untuk disiapkan oleh kerajaan negeri agar segala kesulitan dialami penduduk Kelantan akan diselesaikan pada 2025.

"Jadi projek ini satu projek yang kita tekankan supaya ia jadi kenyataan," tegas Hanifa.