Skip to main
Logo Malaysiakini

Rugi RM10.46b di sektor sawit, k'jaan bimbang izin pelarian bekerja

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Kerajaan mencatatkan kekurangan 54,190 pekerja ladang kelapa sawit dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, ketika tentangan berterusan terhadap pengambilan pekerja dalam kalangan pelarian yang mahu menyara hidup di negara ini.

Pekerja asing membentuk kira-kira 75 peratus daripada tenaga kerja ladang dengan hampir separuh daripada anggaran kekurangan terdiri daripada pekerja kategori penuaian dan pemungut buah tandan segar (BTS).

“Berdasarkan kekurangan 28,940 penuai dan pemungut buah tandan segar, dengan anggaran purata produktiviti dua tan BTS (seorang), jumlah anggaran BTS yang belum dituai setiap hari berjumlah 57,880 tan.

“Dengan mengambil kira 26 hari bekerja bagi setiap pekerja, anggaran BTS yang belum dituai berjumlah 1.5 juta tan sebulan,” kata Menteri Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dalam jawapan bertulis kepada Dr Azman Ibrahim (PH-Kuala Kedah).

Berdasarkan pengiraan itu, kata Zuraida, anggaran kerugian akibat BTS yang belum dituai kerana kekurangan buruh dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini ialah 7.52 juta tan metrik, dengan nilai RM10.46 bilion.

"Ini mengambil kira purata harga BTS dari Jan hingga Mei tahun ini, pada RM1,390 setan metrik," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Abdul Latiff Ahmad berkata kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam isu kelulusan untuk pelarian bekerja secara sah di Malaysia dan memenuhi permintaan buruh.

“Adalah penting bagi kerajaan untuk memastikan kelulusan yang diberikan kepada pelarian tidak akan menimbulkan persaingan untuk pekerja tempatan dan menjadi faktor penarik kemasukan lebih ramai pendatang tanpa izin yang mendapatkan status pelarian daripada UNHCR untuk bekerja di sini,” kata Latiff dalam jawapan bertulis kepada Wong Chen (PH-Subang).

Abd Latiff berkata pelbagai aspek perundangan sedang dibincangkan termasuk mengenai pengeluaran permit kerja, bayaran levi oleh majikan, penguatkuasaan kontrak pekerjaan, sektor yang diluluskan dan perkara lain di bawah undang-undang buruh.

“Keputusan dasar mengenai perkara ini hanya akan dimaklumkan selepas kerajaan membuat kajian terperinci mengenai kebolehlaksanaan dan kesannya kepada penduduk setempat.

"Dasar semasa kerajaan menyatakan bahawa pelarian hanya dibenarkan bekerja untuk menyara diri," katanya.

[Baca berita asal]