Skip to main
Logo Malaysiakini

Penjana Kerjaya: SPRM tahan 2 pengurus, seorang pengarah syarikat

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SPRM menahan seramai tiga lagi individu menerusi “Op Hire” bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Menurut sumber, individu yang ditahan melibatkan seorang pengarah berumur 46 tahun dan dua orang pengurus syarikat berumur 46 dan 35 tahun.

“Pengarah syarikat berkenaan ditahan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira 8.30 malam dua hari lalu manakala kedua-dua pengurus itu ditahan di pejabat SPRM Pahang pada 4.30 petang dua hari lalu,” kata sumber berkenaan.

Menurut sumber itu, pengarah syarikat itu ditahan kerana disyaki mengemukakan borang pengesahan yang mengandungi butir palsu berjumlah melebihi RM1 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memperolehi peruntukan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Kedua-dua pengurus syarikat berkenaan pula ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu kepada Perkeso bagi tujuan sama melibatkan nilai melebihi RM600,000,” kata sumber itu.

Katanya pengarah syarikat berkenaan direman selama empat hari sehingga 22 Julai depan selepas majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

Menurutnya kedua-dua pengurus berkenaan pula direman selama lima hari sehingga 23 Julai depan selepas majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan semalam.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Dia berkata operasi dan siasatan masih diteruskan serta tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Setakat ini, jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi “Op Hire” adalah seramai 45 individu.

-Bernama