Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita rempuh kedai serbaneka lepas tertekan pedal minyak kereta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lagi kes kemalangan berpunca daripada tertekan pedal minyak kenderaan, kali ini berlaku di Kubang Kerian, Kota Bharu Kelantan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi tadi, seorang wanita yang memandu Perodua Myvi meletakkan kenderaannya di depan sebuah kedai serbaneka.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata wanita terbabit yang berusia 33 tahun merupakan seorang peniaga tiba-tiba tertekan pedal minyak keretanya menyebabkan kenderaan berkenaan merempuh bahagian depan kedai terbabit

"Kejadian itu menyebabkan kereta tersebut melanggar pintu utama kedai dan bahagian kaunter bayaran," katanya hari ini.

Bagaimanapun Mohd Rosdi berkata wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ketika kejadian terdapat dua orang pekerja kedai dan seorang pelanggan. Namun tiada sebarang kecederaan dialami mereka," katanya.

Semalam seorang lelaki terbabas dan merempuh pintu kaca sebuah kedai serbaneka di Bukit Rambai, Melaka, juga selepas dia tertekan pedal minyak keretanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam membabitkan seorang pemandu berusia 57 tahun yang baru selesai mengisi minyak di sebuah stesen minyak.

Mohd Rosdi berkata, kejadian di Kota Bharu itu berpunca daripada kecuaian pemandu mengendalikan kenderaan terbabit sehingga menyebabkan kemalangan.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59), dan siasatan lanjut masih diteruskan.