Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramos-Horta calonkan NU, Muhammadiyah untuk Nobel sekali lagi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

GLOBAL | Presiden Timor Leste sekali lagi menamakan dua pertubuhan Islam Indonesia untuk dicalonkan sebagai penerima Anugerah Keamanan Nobel.

Menurut José Ramos-Horta berdasarkan pengalamannya dia mendapati Nahdatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah gigih mempromosikan perdamaian semasa manusia.

Ramos-Horta yang pernah diberikan anugerah keamanan Nobel pada 1996 berkata NU dan Muhammadiyah sangat berhak menerima pengiktirafan berkenaan keranan peranan yang dimainkan mereka.

"Dua organisasi ini sangat layak mendapatkan anugerah Keamanan Nobel.

"Sejak dulu lagi saya melihat NU dan Muhammadiyah mempunyai peranan yang sangat penting dalam menyuarakan perdamaian," kata Ramos-Horta seperti dipetik media Indonesia hari ini.

Terdahulu pemimpin Timor Leste yang kini berusia 72 tahun itu mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat NU di Jakarta.

Untuk rekod pada 2019 Ramos-Horta pernah mencalonkan kedua-dua pertubuhan Islam yang sangat berpengaruh itu untuk dinilai panel anugerah yang sangat berprestij itu.

Selain Ramos-Horta antara penerima lain anugerah tersebut ialah bekas presiden Afrika Selatan dan pejuang antiaparteid, Nelson Mandela, dan bekas setiausaha agung PBB, Kofi Annan.

Selain tokoh perdamaian, Nobel juga mengiktiraf beberapa kategori lain setiap tahun seperti bidang sains dan kesusasteraan.

Sementara itu Ketua Umum NU, Yahya Cholil Staquf, berkata pertubuhan berkenaan sangat menghargai kesungguhan Ramos-Horta dan berterima kasih untuk langkah tersebut.

"Seperti yang kita tahu sebelumnya, Presiden Ramos-Horta telah mencalonkan NU untuk Nobel pada tahun lalu dan dia ingin mencalonkannya lagi.

"Ini merupakan suatu penghormatan buat kami semua," katanya.