Skip to main
Logo Malaysiakini

RUU Antigangguan Seksual diluluskan, tapi ada isu berbangkit

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual menerusi undian suara.

RUU ini antara lain akan mewujudkan satu tribunal untuk mengendalikan aduan gangguan seksual. Ia akan dianggotai oleh individu daripada kehakiman dan undang-undang.

RUU ini menakrifkan gangguan seksual sebagai sebarang perlakuan seksual yang tidak diingin dalam sebarang bentuk, sama ada lisan, tidak lisan, isyarat atau fizikal yang disasarkan kepada seorang individu sehingga menyebabkan rasa tersinggung, penghinaan atau mengancam kesejahteraan mereka.

Tribunal ini akan diberi kuasa untuk mengarahkan pelaku membuat permohonan maaf keada mangsa, dan malah mengarahkan bayaran pampasan atau ganti rugi sehingga RM250,000.

Pelaku gangguan seksual yang enggan mematuhi arahan tersebut akan dikenakan denda dan malah penjara.

RUU ini diluluskan dengan pindaan yang akan membenarkan perwakilan perundangan dalam kes yang dilihat kompleks dari segi undang-undang, dan dengan syarat kedua-dua pihak dibenarkan diwakili peguam.

Platform untuk keadilan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun menyuarakan penghargaan kepada para ahli parlimen yang menyokong RUU tersebut, dan berkata ia akan memberi platform untuk keadilan kepada mangsa.

Bagaimanapun beberapa MP menyuarakan beberapa isu dalam RUU tersebut yang tidak ditangani.

Rina Harun

Misalnya Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang membantah pelantikan ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai Pentadbir Antigangguan Seksual.

Pentadbir diberi kuasa untuk menetapkan garis panduan dan mentadbir usaha mencegah dan meningkatkan kesedaran berkenaan gangguan seksual.

Kata Azalina, cadangan pelantikan itu membawa risiko melantik seorang individu sebagai "penguatkuasa moral" terhadap gangguan seksual, yang boleh membawa kepada cabaran perundangan.

Kerisauan yang dibangkitkan itu tidak disentuh Rina ketika ucapan penggulungan peringkat dasar hari ini.

Sementara itu, menteri juga akan diberi kuasa untuk merangka peraturan agar undang-undang dikuatkuasakan.

Satu peraturan yang dijangka akan diwujudkan adalah untuk mempertanggungjawabkan syarikat bagi mewujudkan persekitaran kerja yang meminimumkan risiko gangguan seksual.

Pemisahan gender

Hannah Yeoh (PH-Segambut) ketika membahaskan RUU semalam menyuarakan kebimbangan bahawa ia boleh membawa kepada pemisahan gender.

Ketika diminta mengulas lanjut, Yeoh berkata sesetengah majikan dan pemilik panggung wayang dan stadium mungkin memilih untuk mengambil jalan pintas dengan memisahkan lelaki dan perempuan bagi menghalang gangguan seksual berlaku.

"Ini bukan semangat undang-undang ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Hannah Yeoh

Sementara itu, Teo Nie Ching (PH-Kulai) juga menyuarakan kebimbangan berkenaan perwakilan gender dalam tribunal.

Terdapat klausa yang menyatakan tribunal perlu memiliki sekurang-kurangnya seorang perempuan sebagai anggota.

Namun, Teo berkata memandangkan golongan lelaki juga menjadi mangsa gangguang seksual, perlu juga dinyatakan bahawa sekurang-kurangnya seorang lelaki perlu menganggotai tribunal itu.

Rina berkata ia boleh dilaksanakan ketika menggariskan prosedur pelantikan untuk tribunal itu nanti.