Skip to main
Logo Malaysiakini

'Lantik naib presiden yang ada sokongan akar umbi kaum India'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sekumpulan ahli PKR berkumpul di ibu pejabat parti hari ini untuk mendesak pucuk pimpinannya melantik naib presiden daripada kaum India yang mempunyai sokongan akar umbi.

Bercakap kepada Malaysiakini, Timbalan Presiden Incott S Francis berkata sudah tiba masanya pimpinan parti mendengar suara akar umbi dalam lantikan jawatan naib presiden mewakili kaum India.

"Kami nak pucuk pimpinan tidak mengulangi kesalahan yang sama sebelum ini kerana sering melantik pemimpin India sebagai naib presiden mewakili kaum India yang tidak mempunyai sokongan akar umbi.

"Kalau kita lihat pemimpin yang dilantik sebelum ini adalah daripada golongan elit. Mereka tidak faham isu-isu akar umbi.

"Kali ini kami tidak mahu seorang lagi pemimpin elit dilantik sebagai naib presiden yang mungkin akan memecahbelahkan parti," katanya.

Menurut Incott, pihaknya mahukan seorang naib presiden yang dapat mendengar suara akar umbi kaum India.

"Kita (kaum India) tidak ada pemimpin yang benar-benar berwibawa dan mempunyai 'sentuhan' akar umbi.

"Jadi, kami nak pucuk pimpinan hari ini mendengar suara akar umbi dan melantik seorang yang boleh memenangi semula sokongan kepada kaum India pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Terdahulu, mereka turut menyerahkan memorandum kepada Presiden PRK, Anwar Ibrahim dan timbalannya Rafizi Ramli sebelum mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bermula jam 8 malam di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya.

Kecuali pemilihan 2018, PKR melantik seorang pemimpin India sebagai naib presiden mewakili ahli-ahli India dalam parti itu.