Skip to main
Logo Malaysiakini

89.23% penjawat awam Gred 56 dan ke bawah bumiputera

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Statistik Jabatan Perdana Menteri mengesahkan bahawa golongan bukan Melayu kurang diwakili dalam perkhidmatan awam.

Menurut data yang dikongsi Menteri Tugas Khas Abd Latiff Ahmad kepada Dewan Rakyat, setakat 5 Julai, 79.02 peratus penjawat awam - tidak termasuk pasukan polis dan tentera - berkedudukan Gred 56 dan ke bawah adalah Melayu.

Pribumi Sabah dan Sarawak masing-masing membentuk lima peratus daripada perkhidmatan awam, diikuti oleh Orang Asli dari Semenanjung Malaysia.

Secara kolektif, bumiputera membentuk 89.23 peratus penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.

Angka ini adalah jauh lebih tinggi daripada anggaran 69.6 peratus penduduk bumiputera yang dilaporkan oleh Banci Penduduk dan Perumahan 2020.

Penjawat awam Melayu yang berpangkat Gred 56 dan ke bawah adalah tidak seimbang dan jauh lebih ramai jika dibandingkan dengan hasil bancian yang menunjukkan bahawa kumpulan ini merangkumi 57.11 peratus warganegara.

Pribumi Sabah kurang diwakili dalam kategori perkhidmatan awam ini kerana mereka hanya membentuk lima peratus, walaupun jumlah mereka di Sabah sahaja menyumbang 6.7 peratus daripada semua rakyat.

Bagaimanapun, pribumi Sarawak, berkemungkinan mempunyai perwakilan yang berlebihan. Penduduk mereka di Sarawak hanya merangkumi 1.9 peratus daripada keseluruhan rakyat tetapi diwakili lima peratus daripada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.

Abd Latiff mendedahkan data ini dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Teresa Kok (Pakatan Harapan-Seputeh), yang meminta pecahan perkhidmatan awam mengikut kaum dan gred berbeza.

Kok juga bertanya sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang mencerminkan komposisi etnik negara dan memenuhi slogan Keluarga Malaysia.

(Nota editor: Data yang disediakan oleh Abd Latiff mempunyai lajur dan baris "jumlah", yang mengandungi ralat penjumlahan. Artikel ini hanya meneliti data yang tiada dalam lajur "jumlah" dan akan dikemas kini jika Abd Latiff memberikan penjelasan kepada Parlimen)

Persaingan terbuka dan adil

Peratusan kaum Cina dan India dalam peringkat "Jusa" adalah lebih tinggi berbanding pangkat yang lebih rendah.

Jurang semakin meluas pada julat "Turus" untuk bukan Melayu. Terdapat 49 orang Melayu yang menduduki jawatan tersebut tetapi hanya lima jawatan yang disandang oleh kaum bukan Melayu.

Tidak ada bumiputera dari Malaysia Timur mahupun Orang Asli yang memegang jawatan "Turus".

Julat "Turus" ialah jawatan perkhidmatan awam tertinggi yang boleh dicapai. Contohnya termasuk ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah kementerian dan pengarah jabatan.

Dalam jawapan bertulisnya, Abd Latiff berkata penjawat awam diambil berdasarkan "merit dan kecekapan" bagi memastikan hanya yang terbaik dipilih.

"Tiada kuota berasaskan kaum untuk pengambilan dan kenaikan pangkat. Semua rakyat Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk dipertimbangkan berdasarkan persaingan terbuka dan adil," katanya.