Polis rampas ganja bernilai RM750,000 di Bukit Mertajam
Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas merampas 300 kilogram (kg) ganja bernilai RM750,000 yang dipercayai diseludup dari Thailand dan menahan dua suspek dalam serbuan di Taman Impian, di Bukit Mertajam pada 16 Julai lepas.
Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis menerima maklumat berhubung kegiatan itu dan sindiket terbabit dipercayai menyeludup masuk ganja melalui jalan laut di dalam kawasan Thailand seterusnya menggunakan pengangkut melalui jalan darat dengan van di Padang Besar, Perlis.
“Pasukan JSJN Perlis bertindak mengekorinya sehingga menuju ke Pulau Pinang, kemudian JSJN Perlis dengan kerjasama JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Impian pada 9 malam.
“Pemeriksaan ke atas rumah itu menemukan 300 kg ganja bernilai RM750,000 yang disembunyikan di dalam kediaman tersebut, polis turut menahan seorang lelaki berumur 41 tahun dan wanita warga Indonesia berumur 37 tahun yang berada di rumah itu ketika serbuan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di sini hari ini.
Surina berkata berdasarkan siasatan awal, rumah itu dijadikan tempat transit ganja yang diseludup dari Thailand sebelum kesemua dadah tersebut dihantar kepada rangkaian sindiket di Lembah Klang untuk pasaran di sana.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan sindiket pengedaran dadah itu yang dipercayai mempunyai rangkaian di negara jiran iaitu Thailand.
"Polis percaya dua suspek yang ditahan itu merupakan ahli sindiket yang berperanan untuk menjaga ganja di rumah disewa sindiket pengedaran dadah tersebut.
"Semakan kami mendapati pasangan itu tiada surat nikah dan wanita tersebut juga tiada sebarang dokumen perjalanan diri, kedua-dua mereka yang tiada rekod jenayah dan negatif ujian air kencing direman hingga 23 Julai ini," katanya dan menambah siasatan dijalankan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Surina berkata dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah motosikal bernilai RM2,800 dan kesemua ganja dirampas tersebut boleh digunakan oleh 600,000 penagih dadah.
"Sejak Januari hingga Jun lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis merampas sebanyak 364 kg ganja yang cuba diseludup masuk melalui sempadan negeri Perlis melibatkan 16 tangkapan," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai